Tingkat penyelenggaraan jalan ke Cameron Highlands - NGO - Utusan Malaysia

Tingkat penyelenggaraan jalan ke Cameron Highlands – NGO

A. DILIP Martin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kejadian tanah runtuh di kawasan yang tidak melibatkan sebarang pembangunan di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dekat sini yang mengorbankan dua nyawa pada Khamis, sewajarnya membuka mata kepada pihak berkuasa supaya meningkatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan ke tanah tinggi itu.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, kejadian di Laluan FT 18 itu merupakan bencana alam yang berpunca daripada taburan hujan yang tinggi kerana tiada sebarang pembangunan dilaksanakan berdekatan di lokasi kejadian.

Menurutnya, penyelenggaraan sistem saliran air di kiri dan kanan laluan itu tidak dijaga dengan baik mungkin antara punca tanah di laluan itu runtuh.

Katanya, ini kerana sebelum ini ada syarikat yang menyelenggara jalan itu termasuk sistem saliran airnya iaitu longkang dan parit di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, begitu juga laluan Tapah- Cameron Highlands.

“Namun sejak beberapa tahun lalu, sudah tiada pihak yang menyelenggara sistem saliran air iaitu parit-parit yang terdapat di kiri kanan di kedua-dua jalan itu, menyebabkan parit air dipenuhi semak sehingga menyukarkan air untuk mengalir.

“Air yang tidak dapat mengalir akan masuk ke dalam tanah dan lama kelamaan ialah akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar lalu runtuh, mungkin itu yang menyebabkan kejadian yang berlaku pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan jalan penting untuk memastikan saliran air di parit yang terdapat di kiri dan kanan jalan sentiasa berfungsi dengan baik dan terjaga.

Katanya, pemantau juga perlu sentiasa dibuat bagi melihat keadaan pokok-pokok di cerun bukit yang boleh menjadi punca tanah runtuh.

“Mungkin tanah di cerun bukit tidak mampu menampung beban pokok yang bersaiz besar akan menyebabkan tanahnya akan runtuh,” katanya.

Menurutnya, sistem saliran air merupakan isu serius yang perlu diberikan perhatian untuk mengelak bencana yang sama termasuk di Cameron Highlands.

Beliau berkata, ini kerana kawasan pelancongan tanah tinggi itu semakin pesat membangun dengan pembinaan bangunan-bangunan baharu tetap sistem saliran air masih menggunakan sistem lama.

Katanya, sistem saliran lama yang berusia lebih 20 tahun di Cameron Highlands tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak apabila hujan lebat.

“Kami tidak menolak pembangunan di Cameron Highlands, tapi perlu lihat juga sistem saliran air yang masih gunakan sistem saliran 20 tahun lepas. Sungai, longkang dan parit tidak diperbesarkan, macam air nak mengalir.

“Malah anak sungai di Brinchang dah jadi longkang sebab tak pernah dikorek atau diperbesarkan. Ini yang menyebabkan sejak kebelakangan ini banjir mudah berlaku di Cameron Highlands,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya