Sekolah di Lembah Klang sesak - Utusan Malaysia

Sekolah di Lembah Klang sesak

Sekolah di Johor dijadual buka seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibarat ‘tin sardin’. Itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap sekolah-se­­kolah di Lembah Klang khu­sus­nya di Selangor yang mempu­nyai lebih 3,000 pelajar membabitkan dua sesi iaitu pagi dan petang.

Keadaan itu membuatkan pel­bagai pi­hak mahu kerajaan mengkaji semula pe­rancangan pem­binaan sekolah terutama sekolah menengah, khususnya di kawasan-kawasan perumahan dan pembangunan ba­­­­haru.

Tinjauan Utusan Ma­laysia mendapati masalah kepadatan sekolah itu berlaku di hampir semua daerah di negeri Sela­ngor terutama di kawasan pembangunan baharu seperti Meru di Klang, Sungai Buloh, Bukit Ke­muning di Shah Alam, Seri Kem­bangan, Rawang, Bangi dan Kajang yang kini pesat menjadi kawasan penempatan.

Utusan Malaysia membuat tin­jauan di empat buah sekolah dikenal pasti mempunyai jumlah pelajar yang ramai iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di Klang; SMK Saujana Utama, Su­ngai Buloh; SMK Jalan Kebun dan SMK Kota Kemuning di Shah Alam.

Berdasarkan jumlah pelajar, SMK Meru dikatakan mempunyai jumlah pelajar paling ramai di negara ini iaitu 3,878 dengan jumlah kelas seba­nyak 121 me­rangkumi 24 kelas bagi setiap Tingkatan 1, 2 dan 3, sementara Tingkatan 4 dan 5 pula mem­punyai 22 kelas setiap ting­katan.

Sekolah tersebut turut mempunyai Pendidikan Khas Integrasi sebanyak lapan kelas dan satu kelas peralihan dan kesemua kelas mempunyai jumlah pelajar antara 36 hingga 40 orang. Sekolah tersebut juga mempunyai 245 orang guru dengan nisbah guru kepada pelajar adalah 1:13.

Bagaimanapun, jumlah pelajar di SMK Meru pada masa akan datang dijangka terus meningkat berikutan kemasukan ke Tingkatan 1 melebihi 1,000 orang pelajar setiap tahun.

Sementara itu, SMK Saujana Utama pula mempunyai 105 kelas yang menempatkan 3,408 orang pelajar dengan pecahan mengikut tingkatan 1 sebanyak 24 kelas, tingkatan 2 (22), tingkatan 3 (19), tingkatan 4 (16) dan tingkatan 5 (16) dan dibantu oleh 205 orang guru dengan nisbah guru kepada pelajar adalah 1:16.

Bagi SMK Jalan Kebun dan Kota Kemuning, jumlah pelajar adalah sama iaitu 3,300 pelajar dengan jumlah kelas sebanyak 83, sementara bilangan guru pula seramai 170 dengan nisbah kepada murid pula adalah 1:19.

Terdapat dua faktor dikenal pasti menjadi punca kepada jumlah pelajar yang ramai iaitu kepadatan penduduk serta lokasi strategik sehingga menyebabkan terdapat ibu bapa yang memilih untuk hantar ke sekolah berkenaan walaupun jauh dari rumah.

Sebagai contoh, SMK Meru, dua faktor terbabit menyebabkan jumlah pelajarnya ramai kerana selain berdekatan dengan rumah dan jalan utama, sekolah itu turut terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian.

Hal itu dijelaskan YangDipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Meru, Zakaria Ishat bahawa sememangnya terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai masalah kepadatan itu.

“ Apabila bandar pinggiran seperti Setia Alam, Puncak Alam dan
Bandar Baru Bukit Raja dibuka, menyebabkan Meru menjadi tumpuan pemaju perumahan,’’ katanya.

Beliau berkata, selain itu kesesakan kelas, isu kesesakan jalan raya juga wajar ditangani oleh pihak berkuasa.

“Memang tak terkawal, tetapi kita wujudkan laluan alternatif di jalan belakang sekolah namun, 2,000 pelajar keluar se rentak dengan pelajar Sekolah Kebangsaan Binjai, muridnya pun ramai pun hampir 2,800 pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Jalan Kebun, Sukhaimi Marob memaklumkan terdapat ibu bapa yang sanggup menghantar anaknya sejauh sehingga 10 kilometer dari rumah ke sekolah berkenaan atas beberapa faktor seperti pilihan akademik dan kesesakan.

“Pelajar dari jauh setakat ini dari Klang kerana mahu mendapatkan aliran Bahasa Arab. Ada yang datang dari Andalas dan Taman Maznah, sejauh itu yang saya ingat.

“Mungkin ibu bapa tidak mahu ke sekolah di bandar Klang kerana faktor kesesakan jalan di kawasan pusat bandar yang lebih teruk,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, menurut sumber Kementerian Pendidikan, SMK Bandar Seri Putra di Bandar Seri Putra, Bangi turut berdepan masalah sama apabila secara purata setiap tingkatan memiliki 17 kelas.

Bertambah memeranjatkan, setiap kelas pula menempatkan lebih 40 pelajar. Difahamkan, sekolah menengah itu satu-satunya sekolah yang terdapat di kawasan perumahan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN