SHAH ALAM: “Kami anak-beranak duduk rapat-rapat, saya minta maaf dekat suami dan anak-anak, saya cakap kalau jadi apa-apa dekat kita, reda sahaja Allah uji kita macam ini.”
Begitulah detik cemas diceritakan salah sebuah keluarga yang tinggal di Taman Sri Muda, Seksyen 25 ketika rumahnya ditenggelami banjir besar melanda pada 18 Disember lalu.
Menurut Siti Rosnani Omar, 34, yang tinggal dekat rumah teres dua tingkat di Jalan Bakti 1, dia sekeluarga tidak dapat melupakan detik hitam itu apabila dalam keadaan bergelap dengan paras air menenggelamkan tingkat bawah rumahnya.
“Masa dekat rumah, memang lapar anak-anak menangis, elektrik tak ada, talian telefon tak ada, semalam masa pukul 3 petang ada lagi, selepas pukul 5 sampailah hari ini memang tak, memang rasa susah hendak dapat bantuan.
“Kebetulan jiran sebelah ada dapur gas, kami pula ada bekalan makanan, kami masaklah sama-sama, ambil air dalam tangki dekat atas bumbung,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Emerald di Jalan Bukit Kemuning, di sini.
Menceritakan garis masa peristiwa pilu itu, ibu kepada empat kepada empat anak itu memberitahu, hujan sangat lebat pada hari Sabtu semasa untuk makan tengah hari dan air mula naik pada pukul 3 petang.
Dia yang tinggal sejak sembilan tahun lalu menceritakan, bila air mula bertakung dalam rumah, suami semakin risau dan pergi ke kedai untuk beli makanan manakala dia berusaha selamatkan barangan.
“Tetapi ketika suami pulang, air dekat jalan raya sudah paras pinggang dan naik sedikit demi sedikit sampailah tenggelam tingkat bawah,” kongsinya.
Sehingga semalam, Siti Rosnani masih lagi tinggal di PPS berikutan pembersihan rumah dilakukan suaminya, Mohd. Suhadi Mohd. Nordin, 39, yang dibantu rakan-rakan dari tempat kerjanya.
Jelasnya situasi pada hari Ahad lebih mencabar apabila bekalan makanan habis, rumah masih tenggelam dan anak-anak mula menangis kerana kelaparan sebelum bomba tiba dengan bot menyelamatkan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar deretan kedai dekat Jalan Bukit Kemuning yang tenggelam itu boleh diibaratkan seperti ‘dunia hendak kiamat’ apabila orang ramai dilihat panik mundar-mandir mencari tempat tinggal sementara dalam keadaan gelap. – UTUSAN










