Sampah berair, makin busuk - Utusan Malaysia

Sampah berair, makin busuk

Timbunan sampah akibat bencana banjir juga dapat dilihat di sepanjang jalan dari Batu 12 hingga ke Batu 18 Hulu Langat berikutan kelewatan pihak berkuasa mengutip dan melupuskannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sam­pah yang terkumpul akibat banjir yang melan­da di negeri Selangor pada hujung minggu di­jang­ka melepasi 1,000 tan metrik apabila semakin ba­nyak bara­ngan yang rosak dan musnah dikumpulkan dari kawasan-kawasan yang terjejas.

Di Shah Alam sahaja, setakat kelmarin sebanyak 824 tan metrik sampah dikumpulkan dari seluruh kawasan di bandar raya itu membabitkan 27 kawasan yang ditenggelami air.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor memaklumkan terdapat dua kawasan kritikal kini sedang diberi fokus oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) iaitu di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dan Padang Jawa, Seksyen 16.

Menurutnya, MBSA turut menerima bantuan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora.

“Insya-Allah pada malam ini ada pasukan dari Kelantan dan Kedah juga akan bantu,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Banjir MBSA di sini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Taman Sri Muda mendapati penduduk menghadapi masalah barang buangan yang berair dan berbau.

Tempat letak kereta sekitar rumah pangsa dan tepi jalan di kawasan rumah yang terjejas teruk de­ngan banjir besar selama lima hari itu, menjadi tempat pengumpulan sampah apabila kerja pembersihan bermula.

Rata-rata penduduk berharap, sampah yang dikumpulkan dapat dikutip dengan segera supaya tidak timbul masalah lain pula seperti serangan haiwan dan serangga perosak.

Penduduk di Jalan Pesona 25/116, Noor Azura Sahril, 37, berkata, semua barang peribadi saya, suami dan anak kena dibuang sebab banyak tak boleh dipakai, belum lagi kira barang dapur seperti barangan basah dan kering yang sememang­nya berbau sebab terlalu lama tenggelam banjir.

Hasnani Abu Bakar, 37, yang tidak menyangka terpaksa membuang hampir keseluruhan barangan dalam rumah selepas kali pertama berhadapan de­ngan banjir besar sedemikian.

“Saya pulang dari PPS semalam selepas diberitahu air sudah surut, tengok keadaan rumah memang teruk, walaupun tidak sampai 24 jam surut, tetapi bau cukup memualkan dan saya terpaksa buang banyak sangat barang kerana tak boleh digunakan lagi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×