JERANTUT: Khabar baik buat usahawan tempatan apabila Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan kelulusan pinjaman di bawah RM200,000 dalam tempoh dua minggu sahaja berbanding sebelum ini yang mengambil masa lebih daripada sebulan.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pengurusan PUNB diminta mengubah peraturan itu untuk membantu usahawan bagi mempercepatkan perniagaan yang telah dirancang ataupun keselesaan bagi bergerak aktif ketika ekonomi negara mula berkembang dalam tempoh fasa pemulihan Covid-19.
“Peraturan ini antara perubahan baharu dalam struktur kelulusan pinjaman kepada usahawan, setelah hampir 30 tahun ditubuhkan, PUNB sudah melaksanakan tanggungjawab membantu kerajaan melonjak ekonomi negara menerusi sektor perniagaan.
“Penambahbaikan kelulusan pinjaman bawah RM200,000 dalam tempoh yang singkat ini bukan sahaja kepada usahawan di Lembah Klang dan Semenanjung, malah, peluang ini disebarluaskan untuk mereka yang berada di negeri Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana B40 Parlimen Jerantut dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Jerantut di Poliklinik Kesihatan Bandar Jerantut di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pegawai Kesihatan Jerantut, Dr. Amir Faisal Mohd. Khairi.
Mengulas perkara yang sama, Ahmad Nazlan menjelaskan, bagi pinjaman yang melebihi RM200,000 hingga RM10 juta, pengurusan PUNB perlu mengambil sedikit masa bagi mengkaji dengan meneliti sebelum diluluskan, tetapi, tidaklah memakan tempoh yang panjang kerana kewajaran pertimbangan yang lebih saksama kepada usahawan atau peminjam berkenaan.
Beliau berkata, pengurusan PUNB bersetuju mengagihkan peruntukan RM200 juta untuk pinjaman kepada usahawan tahun ini dibahagikan kepada kepada tiga segmen, iaitu RM1 juta ke bawah sebanyak 30 peratus, diikuti RM1 juta hingga RM5 juta (40 peratus), manakala RM5 juta hingga RM10 juta ditetapkan 30 peratus daripada jumlah itu.
“Syarat serta peraturan yang agak relevan dengan peruntukan kerajaan dan PUNB, seeloknya semua usahawan yang memenuhi syarat di seluruh negara berpeluang membuat pinjaman untuk melebarkan perniagaan berasaskan landasan ekonomi negara yang mula berkembang dan kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut menambah PUNB memperuntukkan RM3 juta untuk menaik taraf sistem talian internet di Ibu Pejabat PUNB dan semua cawangan di seluruh negara bagi kemudahan usahawan membuat permohonan pinjaman.
“Usahawan yang bercadang memohon pinjaman perlu mengisi borang berkaitan maklumat tertentu menerusi atas talian kepada PUNB dan bukan lagi secara manual seperti sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, PUNB akan membuka semula pejabat cawangan di Kuantan bagi memudahkan usahawan di negeri ini dan berdekatan berurusan mengenai pinjaman dan perkara lain berkaitan kewangan serta perniagaan.
Ujarnya, pejabat cawangan PUNB yang ditutup ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini dibuka untuk memberikan peluang yang lebih selesa kepada usahawan negeri ini dan berdekatan berurusan tanpa perlu lagi ke Ibu Pejabat agensi tersebut di Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE