KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah bersedia dengan limpahan ekonomi dari Kalimantan sebaik sahaja Indonesia memindahkan ibu negaranya secara rasmi pada suku pertama 2024.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, kesediaan tersebut boleh dilihat menerusi inisiatif kerajaan negeri yang menyediakan bekalan elektrik untuk penduduk Kalimantan.
“Kita bekerjasama dengan pihak Indonesia menerusi hubungan Malaysia dan Indonesia secara bilateral, kita memang ada kerjasama. Sekarang ini pun kita bekalkan elektrik ke Kalimantan.
“Mereka tak cukup jana kuasa. Mereka perlukan jana kuasa. Jadi, kita ada hidroelektrik dan grid elektrik kita disambung hingga ke Kalimantan. Jadi, mereka dapat jana kuasa dari sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bukan Kalimantan sahaja, Abang Johari memberitahu, Sarawak turut menyediakan bekalan elektrik ke Sabah dan sedang berunding dengan Brunei.
“Kita buat perkara sama dengan Sabah, sekarang rundingan akhir dengan Brunei, kerana kita ada akses,” katanya.
Menurut Abang Johari, kerajaan negeri mampu menyediakan bekalan elektrik kerana Sarawak mempunyai tiga sumber jana kuasa ketika ini.
“Kita ada empangan hidroelektrik, kita juga ada sistem solar terapung kerana empangan kita besar. Yang ketiga, kita ada ekonomi hidrogen sebagai satu lagi sumber jana kuasa, jadi kita ada tiga jana kuasa daripada satu empangan,” katanya.
Dua tahun lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan Indonesia akan memindahkan ibu negaranya Jakarta ke Kalimantan.
Sebahagian wilayah Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara, terletak lebih 1,000 kilometer dari Kuching, Sarawak akan dibangunkan sebagai sebuah ibu negara baharu, dan dijangka dibuka pada 2024. – UTUSAN ONLINE









