MUKADIMAH
Pengerusi DAP Sarawak, CHONG CHIENG JEN mengakui sukar untuk menukar kerajaan negeri kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih kuat. Namun kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN di ibu pejabat DAP, Kuching semalam, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan itu mengingatkan pengundi perlukan gabungan pembangkang yang kuat demi semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan.
UTUSAN: Okey kah trend pengundi di Padungan?
CHIENG JEN: Ini hak pengundi yang hanya boleh digunakan sekali dalam tempoh lima tahun. Soal menang kalah kerusi, saya tak mahu ramal.
Apa peranan DAP sebagai pembangkang sebenar?
Kami mesti mempunyai pasukan yang kuat dan ahli dewan undangan negeri ramai untuk memberi semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan. Jangan berikan GPS ‘cek kosong’ untuk buat sesuka hati.
Apa masalah GPS?
Sebelum ini kerajaan peruntukkan RM30 juta membina sebuah sekolah untuk 250 pelajar sahaja. Ia diluluskan dan dinyatakan dalam buku belanjawan negeri. Kalaulah dana ini dibelanjakan dengan baik, mungkin rakyat sudah menikmati lebih dari satu sekolah, tetapi mana bakinya?
Jadi, apa tindakan DAP?
Kami mesti membangkitkan isu ini di DUN, dedahkan kepada rakyat apa yang dilakukan kerajaan. Katanya mahu naik taraf sekolah-sekolah daif dan perlu dana besar, tetapi ada tujuan lain di sebaliknya.
GPS tiada polisi efektif kah?
Masa saya jadi timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kami berjaya kawal kadar inflasi. Tetapi kerajaan sekarang tidak peduli hal ini, menyusahkan rakyat lagi ada. – UTUSAN ONLINE










