PRN Sarawak: Impikan Dayak ketua menteri pertama - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: Impikan Dayak ketua menteri pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBANDING parti-parti politik lain di Sarawak, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) hanya `sekecil tapak tangan’. Ahlinya cuma 3,000 orang dan tidak mempunyai sokongan kewangan kukuh untuk bertanding banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Parti dipimpin anak jati Sarawak berketurunan Dayak, BOBBY WILLIAM ini memperjuangkan hak-hak bangsanya.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, di kediamannya di Miri, Bobby meluahkan perasaannya.

Ada tanggapan kata PBDS rasis?
Ini salah faham. Nama parti saja tampak rasis sedangkan kami hanya mahu perjuangkan hak-hak kami tanpa nafikan etnik dan kaum lain. Kami bukan musuh sesiapa. Kami mahu Dayak diiktiraf sebagai satu bangsa kerana hingga kini masih dianggap ‘bangsa lain-lain’.

PBDS mahu jadi kerajaan atau setakat menang beberapa kerusi?
Impian kami hanya menjadi Ketua Menteri sahaja dapat membuka jalan dan peluang untuk anak-anak Dayak. Waktu ini jawatan tersebut hanya didominasi satu kaum saja. Melayu. Apa salahnya Dayak sebagai majoriti menyandangnya pula? Oleh kerana kami bertanding 11 kerusi, jadi, kami mahu menang 11 kerusi jugalah. Jika bangsa lain tidak undi kami tak apa, tapi kami terkilan jika Dayak sendiri tidak mengundi.

Kempen parti anda tak rancak?
Siapalah kami. Dari segi bahan berkempen sudah tentu parti-parti kerajaan lebih kaya kerana banyak tajaan. Dana kami hanya daripada saudara-mara. Saya secara peribadi sudah berbelanja hampir RM20,000 untuk pilihan raya ini.

Apa pencapaian parti?
Perjuangan kami ialah tanah adat dan baru-baru ini kami telah menterjemah Kod Tanah Sarawak berbahasa Inggeris ke bahasa Iban. Bukunya dilancar 27 November lalu. Sekurang-kurangnya ia memberi pengetahuan lebih baik untuk masyarakat Dayak kerana tidak semua mahir bahasa Inggeris.

Bagaimana kerjasama dengan Parti Sedar Rakyat Sarawak (Aspirasi)?
Kerjasama dan persefahaman kami tidak rasmi, hanya setakat cakap-cakap. Tapi tidak bertembung dalam pilihan raya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN