Polis Perak rekod kutipan RM3.5 juta bayaran saman - Utusan Malaysia

Polis Perak rekod kutipan RM3.5 juta bayaran saman

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Polis Perak merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM3.5 juta hasil pembayaran saman pesalah trafik dalam tempoh sembilan hari bermula 1 Disember lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu, kutipan sebanyak RM1.89 juta diperoleh melalui kempen 50 peratus diskaun yang dilaksanakan Kontinjen Perak.

Katanya, bagi tawaran diskaun 80 peratus sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) selama empat hari bermula kelmarin, jumlah yang berjaya dikutip sebanyak RM1.62 juta.

“Polis Perak telah mengadakan kempen diskaun 50 peratus bermula 1 Disember lalu di mana ia akan dilaksanakan selama sebulan.

“Baru-baru ini, kerajaan juga telah bermurah hati apabila mengumumkan diskaun lebih tinggi iaitu 80 peratus kepada pesalah trafik dengan tempoh pembayaran empat hari sehingga esok,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar semalam.

Menurut beliau, orang ramai disaran mengambil peluang tawaran diskaun itu bagi menyelesaikan saman tertunggak kecuali bagi beberapa jenis kesalahan yang dikecualikan pengurangan.

“Ambil peluang selama empat hari ini kerana diskaun 80 peratus itu banyak di mana kita hanya bayar 20 peratus dari nilai kompaun,” katanya.

Polis Perak menawarkan diskaun 50 peratus sehingga 30 Disember ini di mana orang ramai boleh membuat semakan dan pembayaran di semua kaunter di seluruh daerah kontinjen Perak bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang waktu bekerja.

Tawaran diskaun itu tidak termasuk bagi kes saman kemalangan tahun 2021, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus bicara mahkamah, berkaitan kenderaan lori dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan. 

Selain itu, empat kesalahan tahun 2021 lain adalah memotong secara berbahaya atau potong ‘Q’, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN