Pinjaman hanya tambah beban - Utusan Malaysia

Pinjaman hanya tambah beban

SELEPAS banjir, ramai yang perlu bermula daripada kosong semula dan kemungkinan perlu berhutang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Dalam keadaan rakyat sedang sengsara akibat banjir, pembiayaan peribadi tanpa faedah yang diumumkan kerajaan bukan jalan terbaik dalam membantu mereka.

Pinjaman itu meskipun tanpa faedah hanya akan menambah beban rakyat kerana mereka perlu membayarnya semula dalam keadaan masih terkesan kemusnahan harta benda.

Justeru, langkah terbaik adalah kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off sebanyak RM10,000 bagi mereka yang masih mempunyai simpanan mencukupi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, kerajaan perlu mencari alternatif lain dalam membantu rakyat sekiranya tidak membenarkan pengeluaran wang KWSP.

RUSDI OMAR

Katanya, antaranya bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) atau swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu rakyat yang terkesan.

Jelasnya, memberi pinjaman bukan langkah terbaik sebalik­nya rakyat akan lebih terkesan kerana berhutang.

“Bagi yang sudah tidak ba­nyak wang simpanan KWSP atau langsung tidak ada, kerajaan perlu mencari jalan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat dalam membantu mereka,” kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir hingga RM10,000 berbanding RM5,000 kepada mangsa banjir.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan dilaporkan berkata, RM100 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir untuk membeli peralatan dan kelengkapan rumah baharu menggantikan yang telah musnah akibat bencana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu dilaporkan berkata, kerajaan bimbang risiko simpanan KWSP rakyat pada masa depan terkesan jika membenarkan lebih banyak pengeluaran dilakukan walaupun untuk mangsa banjir.

Kata Perdana Menteri, meskipun ramai mangsa terkesan dengan banjir ketika ini, namun rakyat berisiko menjadi miskin tegar ketika dunia persaraan kelak jika simpanan digunakan.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UUM itu berkata, pengeluaran KWSP antara yang cukup diharapkan oleh rakyat khususnya bagi mereka yang terkesan.

“Bagi yang tidak terkesan dengan banjir atau tidak ada keperluan, tidak perlulah mengeluarkan simpanan KWSP itu. Selepas terkesan Covid-19, rakyat sekali terkesan ekoran banjir dan mereka perlu dibantu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN