Pernas sasar pembiayaan RM4.23 juta kepada usahawan Johor - Utusan Malaysia

Pernas sasar pembiayaan RM4.23 juta kepada usahawan Johor

MOHD. Izhar Ahmad (enam dari kiri) bersama Zakaria Mohd. Edris (empat dari kanan) bergambar bersama peserta dan penerima pembiayaan Usahawan Pernas pada Program Bizfrancais Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, hari ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan berjumlah RM4.23 juta kepada usahawan menerusi Program Bizfrancais Johor 2021 yang diadakan di bandar raya ini.

Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd. Edris berkata, sejak 2017, pihaknya telah memberikan pembiayaan berjumlah RM15.16 juta kepada seramai 150 usahawan di negeri itu selain meluluskan pembiayaan susulan sebanyak RM7.7 juta menerusi program Bizfrancais yang diadakan di lapan lokasi seluruh negara pada 2019.

“Program ini berjaya menarik 29 pempamer dan 176 peserta bagi mendapatkan ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais. Ia adalah inisiatif kami membantu melahirkan usahawan mencari peluang dalam perniagaan francais,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Bizfrancais Johor 2021 yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad.

Tambah Zakaria, program Business In Transformation (BIT) yang meliputi klinik perniagaan bersama jenama francais, prafrancais dan jenama turut diadakan dengan pembiayaan BIT Johor sebanyak RM150,620 dalam tempoh sembilan tahun.

Dalam majlis berkenaan, lapan usahawan menerima replika cek iaitu iaitu HAQ Beta Sdn. Bhd.; Leezo Group Sdn. Bhd.; Faszam Sdn. Bhd.; Nuris Legacy; Green Point Departmental Store Sdn. Bhd.; Rollie Café; San Ude Enterprise dan Nasnur Academy Sdn. Bhd. dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.5 juta. 

Program itu melibatkan penyertaan 23 jenama antaranya Marrybrown; Mok Corner; Gloria Jean’s Coffee; MyeongDong Topokki; Kakatoo; V-AgroMart; LaundryBar selain jenama tempatan yang lahir dari Program BIT Pernas itu sendiri seperti Eyda Ice-Cream; Rollie Cafe dan Kitchen Saver.

Sementara itu, Mohd. Izhar berkata, masyarakat khususnya golongan muda perlu mengubah gaya pemikiran mereka untuk tidak hanya mencari kerjaya makan gaji sebaliknya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Francais adalah cabang perniagaan berpotensi untuk diceburi golongan muda.  Kita mahu ubah ‘mindset’ masyarakat supaya berani menceburi bidang perniagaan dan untuk itu ia perlu bermula dari bawah,’’ katanya.

Walaupun tidak menafikan banyak perniagaan terjejas dalam tempoh pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, namun beliau memaklumkan bahawa perniagaan francais kini sedang kembali meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya