KANGAR : Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengingatkan bagi melihat sesebuah negara itu membangun daripada segi ekonomi, maka perlulah diperkasakan golongan wanita supaya mampu berdikari dari segi ekonominya.
Titah baginda, Malaysia dan negeri ini sedar mengenai kepentingan tersebut dan dapat dilihat pelbagai program berfokus kepada penjanaan pendapatan, peluang pekerjaan serta pemerkasaan ekonomi wanita telah dan sedang dilaksanakan.
“Memetik kata-kata Buya Hamka dalam bukunya yang bertajuk Bicara Tentang Wanita, Wanita adalah tiang negara, jika baik wanita itu, maka akan baiklah sesebuah negara, dan begitulah sebaliknya, titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan kedai Tanda Cinta Florist Cafe di Jalan Kangar Jaya 1, Off Jalan Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pengusahanya, Suzana Hamid. -UTUSAN ONLINE