PUTRAJAYA – Kira-kira sejuta penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas belum menerima vaksin Covid-19 yang lengkap sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau terus berkeliaran sama seperti mereka yang sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.
Antara larangan yang dikenakan kepada mereka yang belum lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 ialah merentas negeri, makan di kedai, memasuki pasar raya dan juga melancong di bawah gelembung pelancongan di Langkawi.
Pelanggaran SOP itu tidak mustahil berlaku kerana tinjauan Utusan Malaysia mendapati premis perniagaan seperti mengambil mudah pemeriksaan di pintu masuk apabila gagal memeriksa rekod MySejahtera pengunjung yang datang.
Pemeriksaan secara rambang pihak berkuasa terhadap orang ramai juga dipercayai menyebabkan ramai yang belum lengkap divaksin terus berkeliaran di tempat awam dan melanggar larangan yang ditetapkan.
Kebenaran kepada orang ramai untuk menulis kunjungan mereka di buku daftar yang diletakkan di pintu masuk premis perniagaan tanpa menunjukkan MySejahtera turut memberi peluang kepada mereka untuk melanggar SOP.
Ketika dunia bimbang dengan penularan baharu varian baharu Covid-19, Omicron dan semalam negara mencatatkan sebanyak 5,551 kes Covid-19 baharu, pelanggaran SOP oleh mereka yang belum lengkap vaksin itu tidak sepatutnya berlaku.
Sehingga semalam sebanyak 25,423,193 rakyat ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan 2,728,294 sudah menerima dos penggalak.
Malah Malaysia juga menjadi antara negara yang terpantas memberikan suntikan vaksin kepada remaja apabila 80 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh tiga bulan lalu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya akan melaksanakan kempen lebih agresif bagi memastikan mereka yang layak menerima vaksin Covid-19 untuk segera melengkapkan suntikan dos tersebut.
“Untuk itu kita akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kalangan pekerja asing yang mungkin kerisauan belum mendapatkan vaksinasi termasuk rakyat kita, agar segera mendapatkan suntikan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam.
Berdasarkan data laman web CovidNow semalam, seramai 1,031,946 orang dewasa berusia 18 tahun ke atas belum mendapatkan vaksin Covid-19 untuk dos pertama dan kedua.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan juga akan memperhebatkan lagi kempen pemberian dos penggalak melalui penambahan kapasiti seperti yang pernah diumumkan beberapa hari lalu.
Menurutnya, kempen kesedaran untuk memastikan rakyat tahu betapa penting untuk mendapatkan dos penggalak juga akan diadakan.
“Pada minggu depan, kita akan berbincang berkenaan dos penggalak dan sekiranya didapati ada keperluan, kita akan membuat pengumuman status vaksinasi penuh yang memerlukan dos penggalak,” ujarnya.
Tambah beliau, buat masa ini, Kementerian Kesihatan menetapkan sasaran 75 peratus daripada penerima dos lengkap untuk mendapatkan dos penggalak. – UTUSAN ONLINE










