Pekerja restoran lega kedai makan dibuka semula - Utusan Malaysia

Pekerja restoran lega kedai makan dibuka semula

NUR SAANA SYAZA MOHD. SOFIAN (tengah) mengambil pesanan pengunjung di Restoran Mee ZDin di Behor Lateh, Kangar, Perlis. semalam. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Azizi Abu Bakar,39, yang sudah hampir 20 tahun bekerja sebagai tukang masak berdepan saat paling mencabar setelah hilang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 sebelum ini.

Selama berbulan-bulan, Azizi hilang sumber pendapatan apabila kedai makan di dalam salah sebuah universiti di sini iaitu tempatnya bekerja terpaksa memberhentikan operasi buat seketika sepanjang tempoh berkenaan.

Namun anak kedua daripada empat itu menarik nafas lega apabila sudah kembali bekerja seperti biasa selepas pembukaan semula sektor ekonomi yang sekali gus merancakkan semula perniagaan di kedai-kedai makan.

Katanya, selepas kedai makan tempatnya bekerja itu memberhentikan operasi seketika, dia bekerja di beberapa buah kedai makan sepanjang tempoh fasa pertama dan kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun menerima gaji jauh lebih rendah.

“Kami faham pada masa itu, majikan terpaksa memotong gaji ekoran kekurangan pelanggan apabila tidak dibenarkan makan di kedai. Pada masa itu, kami sangat terkesan teruk termasuk dalam tempoh beberapa bulan saya tidak dapat bekerja sepanjang PKP itu.

“Alhamdulillah, keadaan kini sudah seperti biasa dengan pelanggan kembali ramai dan suasana di kedai makan mula rancak. Pembukaan semula sektor ekonomi banyak membantu kami menjana semula pendapatan,” katanya.

Pembantu kedai makan, Nor Hisham Kamis,36, berkata, dia kembali menerima gaji penuh RM80 sehari selepas kedai makan tempatnya bekerja kembali meriah seperti sebelum PKP.

Dalam masa sama, dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang banyak memberi bantuan sepanjang tempoh mencabar pelaksanaan PKP sebelum ini.

“Masa PKP, kami terpaksa berehat seketika sebelum bekerja semula pada fasa pertama dan kedua PKP namun dengan gaji sedikit rendah ekoran kekurangan pelanggan.

“Apabila pelanggan tidak dibenarkan makan di kedai, suasana di kedai makan sedikit suram. Pembukaan semula sektor ekonomi merancakkan kembali perniagaan dan kami juga menerima gaji penuh seperti biasa,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Nur Saana Syaza Mohd. Sofian, 18, pula berkata, suasana di kedai-kedai makan kembali meriah selepas kelonggaran rentas negeri dibenarkan selain dirancakkan dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

“Alhamdulillah, perniagaan kembali rancak dan kami sebagai pekerja kembali bersemangat,” kata pembantu kedai makan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN