Kenaikan harga perlu diterima? - Utusan Malaysia

Kenaikan harga perlu diterima?

Kerajaan melancarkan skim harga mulai semalam bagi mengawal kenaikan harga barang yang menjadi rungutan pengguna sejak akhir-akhir ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga barang dan makanan mungkin menjadi suatu perkara yang perlu diterima dan tidak boleh die­lakkan selepas tempoh pandemik yang dialami seluruh dunia sejak dua tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya percaya pandemik menyebabkan berlakunya kenaikan kos terutama kos operasi sekali gus menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna.

Justeru, beliau berkata, satu pasukan bertindak perlu diwujudkan bagi mengkaji dan mencari penyelesaian kenaikan harga itu yang disebabkan oleh kos-kos operasi yang disulitkan seperti kos invois dan kos gelap yang diambil oleh kartel-kartel.

“Pasukan ini boleh bantu kenal pasti pemborong atau pengedar yang ada masalah dan mungkin bantu mereka melalui subsidi atau solusi lain supaya kos operasinya turun,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terlalu banyak rantaian perniagaan dengan setiap satu­nya mengaut keuntungan berlebihan adalah antara punca pe­ningkatan harga barang ketika ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mencari jalan memerangi orang tengah bagi memastikan kenaikan harga tidak disebabkan manipulasi peniaga.

Dalam masa yang sama, kata Jacob, kaedah jualan terus kepada pengguna perlu dibincangkan secara teliti bagi mengelakkan timbul masalah lain kerana mereka yang berada di rantaian makanan itu juga mempunyai peranan tersendiri.

“Jika kita nak tukar semua rantaian, kita mesti ada perbincangan dengan pemegang taruh yang melaksanakan proses (orang tengah) tersebut bagi membolehkan bekalan sampai kepada pengguna.

“Kita kena lihat semua perkara yang berkait seperti sistem pengangkutan dan lain-lain. Sekiranya mahu dibuang itu (orang tengah), siapa yang akan ambil alih tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau berkata, pasukan itu juga perlu dianggotai oleh mereka yang pakar dan pegawai daripada kementerian berkaitan bagi memberi keyakinan kepada rakyat dan dapat memberikan garis panduan yang jelas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN