PETALING JAYA: Orang ramai mengambil sepenuhnya peluang diskaun sehingga 80 peratus saman trafik terpilih sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula semalam dengan menyerbu ke kaunter-kaunter pembayaran seawal 7.30 pagi.
Bukan itu sahaja, laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aplikasi MyBayar juga mengalami gangguan selepas diserbu pengguna yang mahu melangsaikan tunggakan saman.
Berikutan sambutan yang menggalakkan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, kaunter semakan dan bayaran saman akan dibuka sehingga Ahad ini dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang.
“Orang ramai yang gagal mengakses portal atau aplikasi MyBayar juga diminta berbuat demikian di luar waktu puncak memandangkan perkhidmatan pembayaran dalam talian berkenaan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh tawaran berkenaan.
“Kita juga akan sentiasa mengemas kini portal dan aplikasi mobil berkenaan dari masa ke semasa bagi membolehkan orang ramai membuat pembayaran saman secara dalam talian tanpa perlu ke kaunter,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, PDRM menawarkan pengurangan kompaun saman bagi kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30. – UTUSAN










