Shah Alam: Tiga perkara boleh disimpulkan menjadi perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sepanjang tahun ini iaitu wabak Covid-19, isu rasuah dan alam sekitar.
Walaupun tiada aktiviti baginda mencemar duli bersama rakyat jelata seperti menziarahi kampung atau mengunjungi mereka di tempat-tempat awam ekoran pandemik yang melanda, media sosial menjadi ‘jambatan’ mendekatkan rakyat dengan raja mereka.
Isu Covid-19 sering kali disentuh baginda dalam menasihati rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak dan mengambil suntikan vaksin untuk mengurangkan jangkitan.
Malah, tidak terlepas satu detik pun nasihat berkaitan wabak itu dikongsikan Sultan Sharafuddin termasuk perkongsian menerima suntikan vaksin dos pertama pada 20 Mac dan kedua pada 10 April bagi meyakinkan rakyat.
Selain itu, baginda amat mengikuti rapat isu wabak tersebut apabila berkenan menerima menghadap dua Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba pada 29 Mac lalu yang membawa berita gembira kepada penduduk Selangor khususnya di Kapar, Klang apabila memaklumkan tentang pembinaan hospital awam di sana.
Kemudian, baginda sekali lagi dikunjungi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar pada 18 Oktober 2021. Pada kedua-dua pertemuan itu Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan terhadap penularan wabak, namun sukacita apabila semakin ramai rakyat khususnya penduduk di Selangor menerima suntikan vaksin.
Justeru, disebabkan kebimbangan itu juga yang dalam masa sama perisytiharan darurat oleh Kerajaan Persekutuan pada 10 Januari hingga 1 Ogos lalu, pelbagai usaha dilakukan baginda untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
Antara dilakukan Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda, Tengku Amir Shah adalah menyerahkan sumbangan kepada rakyat yang penerimanya seperti penduduk Kampung Orang Asli Pulau Carey serta golongan asnaf fakir miskin.
Nasib pelajar asnaf turut dibela apabila sebanyak 7,000 menerima bantuan tablet melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memudahkan mereka belajar secara dalam talian ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Isu rasuah turut mendapat perhatian baginda apabila sering menekankan ‘barah’ itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani apabila ramai pegawai dan kakitangan kerajaan negeri terlibat masalah terbabit.
Malah, menjauhi amalan rasuah ditegaskan sekali lagi oleh baginda ketika merasmikan pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Penggal Ke-4 pada 23 Ogos lalu dan menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan menyeluruh bagi membersihkan negeri itu daripada rasuah.
Isu alam sekitar juga menjadi perhatian Sultan Sharafuddin dan ketika merasmikan pembukaan Sidang DUN pada 23 Ogos lalu, baginda menegaskan hutan simpan di negeri itu mesti dikekalkan tidak kurang daripada 30 peratus.
Perkara itu ditegaskan selepas terdapat isu penyahwartaan hutan simpan dibangkitkan seperti Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli di Kuala Langat.
Begitu kasihnya baginda kepada rakyat, tanpa mengira kaum. Pelbagai isu disentuh baginda demi kesejahteraaan rakyat Selangor. – UTUSAN ONLINE










