FGV sumbang RM250,000 bantu mangsa banjir di Pahang - Utusan Malaysia

FGV sumbang RM250,000 bantu mangsa banjir di Pahang

IDRIS Jusoh (dua dari kiri) menyampaikan replika cek RM250,000 sumbangan FGV Holdings Berhad kepada Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: FGV Holdings Bhd. menyumbangkan RM250,000 kepada Tabung Bencana Banjir Pahang 2021 bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri ini.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bantuan disalurkan menerusi FGV itu juga merupakan sebahagian usaha membantu kerajaan negeri melaksanakan pengurusan kerja pascabanjir.

“Kita bersimpati dengan kesusahan mangsa banjir di Pahang yang cukup terkesan apabila semua peralatan perabot dan elektrik rosak dan musnah sehingga mangsa berdepan kesukaran memulihkan semula kehidupan selepas musibah ini.

“Bantuan ini membabitkan juga petugas di bawah pengurusan Felda yang terjejas teruk sekurang-kurangnya diberikan tunai RM2,000 termasuk juga melibatkan kehilangan nyawa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di sini hari ini.

Terdahulu, Idris menyaksikan serahan sumbangan berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansur kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Yang turut hadir iaitu Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.

Menurut Idris, Pahang merupakan antara negeri yang terjejas teruk akibat banjir dan sedikit sumbangan ini diharap dapat membantu kerajaan negeri menguruskan mangsa banjir. 

 Selanjutnya, Idris mengumumkan sebanyak 471 buah keluarga peneroka Felda negeri ini terkesan akibat banjir akan diberikan bantuan sewajarnya iaitu wang tunai RM100 atau barang keperluan dapur.

Sementara itu, Wan Rosdy menambah, kerajaan negeri berterima kasih atas keprihatinan FGV yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. 

“Kerajaan akan menggunakan peruntukan berkenaan sebaik mungkin bagi menguruskan keperluan mangsa banjir bagi meringankan beban yang mangsa banjir tanggung selepas mengalami kemusnahan harta benda akibat musibah banjir yang hampir 10 hari,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya