Disaran lantik TPM, rombak Kabinet - Utusan Malaysia

Disaran lantik TPM, rombak Kabinet

ISMAIL Sabri Yaakob disaran melantik Timbalan Perdana Menteri bagi membantu menguruskan negara khususnya berkait isu-isu domestik seperti kenaikan harga barang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disarankan supaya bukan sahaja melantik seorang Timbalan Perdana Menteri tetapi juga merombak Kabinet setelah mencapai 100 hari tempoh perkhidmatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berpendapat, kelewatan respons kerajaan terhadap isu penting seperti kenaikan harga barang menunjukkan perlunya pembaharuan terhadap Kabinet.

“Kalau Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini nampak jelas beliau memperjuangkan isu rakyat dan kenaikan harga barang. Perdana Menteri seharusnya mengulas mengenai harga barang kerana ia berkaitan dengan rakyat.

“Tetapi jika ada Timbalan Perdana Menteri, beliau boleh tangani isu-isu dalam negeri, mungkin boleh lantik salah seorang menteri kanan. Cuma pelantikan Timbalan Perdana Menteri sahaja tidak cukup, Perdana Menteri perlu ubah suai Kabinet, rombak kedudukan menteri-menteri yang tidak berfungsi, ini boleh dilihat dari 100 hari pencapaian setiap kementerian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pelantikan itu perlu dibuat pada tempoh yang sesuai memandang­kan Perdana Menteri berdepan kritikan ketika ini kerana me­lantik beberapa individu sebagai penasihatnya, meskipun memiliki 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

“Pelantikan Timbalan Perdana Menteri adalah idea yang bagus, tetapi pada masa sama mengundang kritikan kerana Perdana Menteri sudah pun melantik beberapa penasihat. Kabinet pun sudah cukup besar, orang akan lagi marah, jadi dikhuatiri masanya kurang sesuai dan pembangkang pastinya akan memainkan isu ini,” katanya.

Julai lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan bagi membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan negara yang sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi ketika itu.

Dalam pada itu, penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan Timbalan Perdana Menteri boleh ditugaskan secara khusus untuk memantau isu-isu domestik seperti kenaikan harga barang.

“Timbalan Perdana Menteri boleh pantau secara terus isu domestik yang berkepentingan keselamatan awam dan keselamatan ekonomi negara.

“Ini tidak seharusnya dilihat sebagai kritikan, tetapi lebih kepada penambahbaikan terhadap pentadbiran kerajaan dengan lebih terperinci serta memperkukuhkan kestabilan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN