5.5 juta ayam sejuk beku dibawa masuk bulan ini - Utusan Malaysia

5.5 juta ayam sejuk beku dibawa masuk bulan ini

HARGA ayam dijangka stabil apabila kerajaan membawa masuk 5.5 juta ekor ayam sejuk beku mulai bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan kebenaran import ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh Disember ini hingga Februari 2022.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan, kebenaran mengimport bahan mentah itu bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran bermula bulan ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, langkah intervensi itu dibuat selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini sekali gus memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.

Kekurangan bekalan ayam ini antara lain disebabkan berlakunya peningkatan permintaan yang mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi, terutamanya hotel, restoran dan katering bermula Oktober lalu.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan negara berhadapan dengan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata sebanyak 18 peratus bagi Oktober serta November lalu dan keadaan sama akan berlarutan pada bulan ini.

“Keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik (2.09 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan,” kata kenyataan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan kenaikan harga ayam mencecah sehingga RM10 bagi satu kilogram (kg) di pasar basah dan pasar raya. 

Menurut MAFI, syarikat yang berhasrat untuk mengimport perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk beku.

“Kebenaran pengimportan ini hanya akan dibenarkan dari negara dan loji penyembelihan yang diluluskan kerajaan. 

“Kebenaran mengimport ayam bulat ini adalah bersifat sementara sehingga bekalan ayam dapat distabilkan oleh industri ayam tempatan,” katanya.

Katanya, MAFI akan memastikan kuantum import hanyalah untuk memenuhi kekurangan bekalan ayam semasa untuk tempoh tertentu sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN