30 pekerja Nepal disumbat dalam satu bilik - Utusan Malaysia

30 pekerja Nepal disumbat dalam satu bilik

MOHD. Asri Abd. Wahab (kiri) memeriksa tempat tidur penginapan pekerja di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Status penginapan pekerja asing di kebanyakan tempat di seluruh negara kekal ‘daif’ apabila masih ramai yang terpaksa tidur berhimpit-himpit sambil memasak dan makan dalam keadaan kotor.

Terbaharu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengesan dua lagi majikan yang menyediakan penginapan daif, masing-masing membabitkan sebuah kilang dan premis cuci kereta di Pengkalan Chepa, di sini.

Ketika pemeriksaan hari ini, kilang besi yang menggajikan 30 warga Nepal  dikatakan ‘menyumbat’ kesemua pekerjanya itu dalam satu bilik yang sempit dengan persekitaran amat kotor.

Sementara itu, 12 warga Bangladesh yang berkhidmat dengan sebuah pusat cucian kenderaan pula bukan sahaja ditempatkan di ruangan sempit beramai-ramai, malah, terpaksa memasak di situ juga.

Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Mohd. Asri Abd. Wahab selepas menyertai operasi bersepadu tersebut di sini hari ini.

Kata Mohd. Asri, operasi bermula pukul 10.30 pagi disertai Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP), Jabatan Kesihatan, polis dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Hasil operasi mendapati tempat penginapan pekerja tidak tersusun termasuk tempat tidur sesak, tiada ruang memasak dan bilik air yang tidak cukup serta lain-lain potensi bahaya apabila berlaku kebakaran.

“Tiada tempat menyimpan pakaian disediakan, selain tidak menyediakan imbasan suhu dan cecair pembasmi kuman. Penyelia juga tidak ada di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi itu Pengarah JTK Kelantan, Sulkifli Silang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Asri berkata, sebanyak 50 peratus daripada 37,662 majikan di seluruh negara masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penginapan pekerja dalam pemeriksaan bermula Februari sehingga 30 November.

“Kita dapati majikan tersebut tidak memohon perakuan penginapan dan sijil dengan JTK. 

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 Pindaan 2019 atau Akta 446 yang dikuatkuasakan tahun lalu,” katanya.

Mohd. Asri menambah dalam tempoh sama sebanyak 2.6 juta pekerja telah diperiksa, melibatkan 1.5 juta rakyat tempatan dan lebih sejuta warga asing.

Menurutnya, jumlah penginapan pekerja diperiksa di seluruh negara setakat ini ialah 152,652 premis dengan 1,169 kertas siasatan telah dibuka membabitkan jumah denda RM874,000 dan kompaun RM9.4 juta. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.