1,762 graduan USAS dirai Istiadat Konvokesyen secara maya - Utusan Malaysia

1,762 graduan USAS dirai Istiadat Konvokesyen secara maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seramai 1,762 graduan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini diraikan pada Istiadat Majlis Konvokesyen Ke-14 yang diadakan secara maya hari ini. 

Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata, pada Istiadat majlis konvokesyen itu, tiga orang merupakan penerima ijazah doktor falsafah, 34 menerima ijazah sarjana, 669 penerima ijazah sarjana muda dan 1,056 penerima diploma. 

Beliau berkata, dalam usia universiti itu yang masih muda, jumlah kemasukan pelajar ke USAS telah meningkat dengan ketara walaupun berlaku pandemik Covid-19 iaitu daripada 1,873 pelajar pada 2019 kepada 2,101 pelajar pada tahun 2020.

Katanya, jumlah itu terus meningkat kepada seramai 2,448 pelajar pada tahun 2021. 

“Ini menunjukkan kenaikan 12.17 peratus dari tahun 2019 hingga 2020 dan terus meningkat  sebanyak 16.5 peratus dari tahun 2020 hingga 2021,” katanya ketika berucap pada perasmian Istiadat Majlis Konvokesyen Ke-14  USAS hari ini. 

Menurut Nordin, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USAS telah mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program dan kokurikulum baharu sebagai medium untuk mengasah kemahiran insaniah bagi meningkatkan kemampuan diri mahasiswa dan mahasiswi USAS. 

Beliau berkata, mahasiswa USAS juga tidak ketinggalan meneroka pendekatan program secara norma baharu menerusi dalam talian, disesuaikan dengan keadaan semasa. 

“Ini untuk memastikan walaupun pandemik masih membelenggu negara, proses penurunan dan penyebaran ilmu tidak terhenti dan berterusan dalam kalangan penerima ilmu,” katanya.

Menurut Nordin, seiring dengan perkembangan perbankan Islam di negara ini, USAS juga tidak ketinggalan dan telah menerima pembiayaan berjumlah RM10 juta daripada FWD Techology And Innovation Malaysia Sdn. Bhd. dan FWD Takaful Bhd. untuk penubuhan USAS Takaful Academy.

Beliau berkata, USAS Takaful Academy akan menjadikan universiti itu sebagai pusat penyelidikan intelektual berkaitan takaful.

“USAS juga akan mewujudkan program ijazah pengkhususan dalam takaful dan melakukan peningkatan tahap profesionalisme dengan menawarkan biasiswa untuk Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah, malah pensijilan dan pentauliahan dalam bidang kewangan Islam dan Syariah. 

“Diharapkan dengan penubuhan USAS Takaful Academy ini, ia dapat menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam bidang takaful, muamalat dan perbankan serta kewangan Islam dan secara tidak langsung berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan USAS melalui latihan dan bimbingan pakar bidang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN