Tidak terlintas jadi Ketua Menteri - Utusan Malaysia

Tidak terlintas jadi Ketua Menteri

Mas Ermieyati Samsudin akan berdepan dengan Ab. Rauf Yusoh (kanan) dan Zainal Hasan (kiri) di kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 20 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID TANAH: Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak pernah terlintas untuk dicalonkan sebagai Ketua Menteri meskipun namanya disebut-sebut bakal menyandang jawatan itu jika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata, fokusnya kini hanyalah satu, iaitu menyumbang kerusi bagi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Terus terang tidak pernah terfikir untuk saya sampai tahap itu (Ketua Menteri). Malah saya tidak pernah meletakkan perkara ini.

“Hal ini kerana niat saya adalah untuk menyumbang kerusi kepada PN dan menghadiahkan kemenangan kepada parti,” katanya.

Sebelum ini, nama Mas Ermieyati disebut-sebut calon mewakili PN untuk menjadi Ketua Menteri seandainya PN memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Jika perkara berkenaan berlaku, beliau sekali gus menjadi wanita pertama menjadi Ketua Menteri malah Pas tidak mempunyai masalah jika golongan wanita untuk mengetuai kerajaan negeri.

Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali manakala Adly Zahari daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Ketua Menteri.

Dalam pada itu, Mas Ermieya­ti mengakui cabaran besar apabila namanya diletakkan untuk bertanding di DUN Tanjung Bidara apatah lagi bertembung dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sebaliknya, beliau yakin dapat meraih sokongan pengundi dan kemenangan di kawasan berkenaan setelah melihat rekod cemerlangnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

“Jadi saya terima keputusan parti yang meletakkan saya bertanding di kawasan ini kerana potensi ada pada saya ini untuk memecah kubu kuat UMNO di sini.

“Saya sudah menjadi Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen, jadi buat apa saya bertanding di peringkat DUN. Maka keputusan parti mesti ada sebabnya iaitu demi kemenangan PN,” katanya.

Menurut beliau lagi, seba­nyak 60 peratus pengundi Tanjung Bidara berusia bawah 50 tahun, sekali gus memperlihat suara mereka didengar untuk diangkat oleh wakil rakyat bertanggungjawab agar ditangani segera.

Beliau berjanji meningkatkan potensi di Tanjung Bidara termasuk daripada aspek pembangunan ekonomi dan pelancongan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×