KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menyifatkan tahap keselamatan data negara perlu diteliti dari semasa ke semasa.
Ini kerana, katanya, usaha kerajaan dalam membudayakan konsep tanpa kertas dalam perkhidmatan di negara ini akan berdepan dengan ancaman siber.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam membudayakan konsep tanpa kertas dalam perkhidmatan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
“Sejajar dengan usaha itu, perhatian yang teliti perlu diberi kepada keselamatan siber terutamanya jika ia membabitkan kerjasama dengan pihak asing.
“Ini demi keselamatan negara kerana data dan maklumat merupakan aset penting sesebuah negara,” dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Shahelmey menganggap ancaman siber memerlukan pemantauan yang berterusan kerana tahap keselamatan siber akan memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan negara.
“Ancaman siber ini adalah perkara yang memerlukan pemantauan yang berterusan kerana pihak tidak bertanggungjawab akan sentiasa mencari cara untuk menggodam terutamanya yang membabitkan data dan maklumat penting.
“Ia akan dapat menjejaskan ekonomi negara jika ianya berlaku. Kita perlu memastikan kesiapsiagaan kita dalam hal ini di peringkat yang tinggi pada setiap masa,” katanya. -UTUSAN ONLINE










