‘Tak sabar jejak kaki di tanah air’ - Utusan Malaysia

‘Tak sabar jejak kaki di tanah air’

PETUGAS di Larkin Sentral membuat persiapan untuk menerima rakyat Malaysia dari Singapura di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bermula Isnin ini di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setelah melalui pelbagai episod duka sepanjang hampir dua tahun ‘terperangkap’ di negara orang selain ada tidak berpeluang melihat ahli keluarga terdekat buat kali terakhir, rata-rata pekerja rakyat Malaysia di Singapura kini tidak sabar kembali ke tanah air.

Ia ekoran pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) terutama sektor darat yang membuka tirai Isnin ini setelah kerajaan kedua-dua negara bersetuju agar perjalanan tersebut serentak dengan VTL udara.

Bagi mereka yang langsung tidak pulang ke Malaysia meskipun boleh berbuat demikian melalui skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) sebelum ini, tarikh 29 November sangat dinanti-nantikan sejak Mac tahun lalu apabila sempadan negara ditutup akibat Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Shafiq Nasiruddin, 33, yang berasal dari Johor Bahru berkata, ahli keluarga terutama isterinya antara insan yang paling gembira setelah dia akan pulang sekitar Januari ini melalui skim VTL darat.

Katanya, setelah hanya berhubungan menerusi panggilan video dan mesej, pertemuan secara bersemuka itu kelak pasti meleraikan kerinduan yang tertanggung mereka sejak sekian lama disebabkan terpaksa akur dengan arahan semasa.

“Alhamdulillah, berita gembira ini amat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata, hampir dua tahun tidak pulang sejak sekatan pergerakan, ini masanya saya pulang di bawah VTL yang lebih murah kosnya dan paling penting tidak perlu kuarantin.

“Sepanjang hampir dua tahun ini, pelbagai perkara kami lalui termasuk saya tidak berpeluang menziarahi ibu saudara yang meninggal dunia di sana. Insya-Allah peluang ini kami gunakan sebaik-baiknyanya di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Melalui VTL darat, kos perjalanan dua hala bagi seorang pengembara dianggarkan tidak melebihi RM400 termasuk perbelanjaan bagi tiket bas dan kos ujian saringan di kedua-dua negara.

Jumlah itu dianggap lebih rasional oleh rata-rata pekerja Malaysia yang berada di Singapura berbanding pulang ke tanah air di bawah skim PCA yang boleh mencecah sehingga RM6,500 seorang termasuk caj semasa proses kuarantin.

Muhammad Shafiq yang berkhidmat di Hospital Besar Singapura berkata, dia memohon cuti selama 17 hari bermula 15 Januari tahun depan bagi meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Sementara itu, Raja Mohammad Haziq Jaafar, 27, berkata, dia juga memilih pulang pada Januari ini kerana mahu melihat dahulu keberkesanan sistem VTL yang diperkenalkan selain faktor kuota perjalanan yang terhad pada peringkat awal.

“Kalau ikutkan memang tidak sabar untuk pulang berjumpa isteri dan keluarga secepat mungkin tetapi saya akan bersabar sedikit lagi, tambahan pula mampu bertahan sehingga lebih setahun sebelum ini.

“Apatah lagi saya difahamkan tiket bas yang ditawarkan untuk perjalanan di bawah VTL sudah habis terjual bagi tempoh 30 hari pertama yang bermakna sambutan amat menggalakkan daripada rakan-rakan yang berada di Singapura,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×