CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Universiti Multimedia (MMU) menganjurkan Program Penstrukturan Ekonomi Pasca Covid-19 : Belia Sepang bagi menjana semula ekonomi golongan itu selepas berdepan pandemik.
Program disasarkan untuk golongan berkenaan dari daerah Sepang bagi merancakkan kembali ekonomi yang semakin merudum dalam kalangan usahawan mikro di daerah itu yang dilaksanakan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 22 November ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, program berkenaan bermatlamat melahirkan masyarakat Sepang yang berpengetahuan dan berkemahiran dengan menekankan elemen keusahawanan bagi memperkasa pembangunan insan.
“Program dilaksanakan bagi membentuk dan membangunkan kompetensi asas belia sebagai usahawan dan memperkasa pengetahuan dan kemahiran mereka supaya menjadi anak Sepang yang berjaya dengan kemahiran komunikasi serta penambahbaikan dalam proses pembelajaran,” katanya hari ini.
Menurutnya, sasaran program adalah dalam kalangan belia dari Jawatankuasa Perunding Zon MPSepang, belia dari tiga DUN iaitu Dengkil, Sungai Pelek dan Tanjung Sepat serta belia pemegang lesen perniagaan MPSepang.
Bagi DUN Dengkil program akan berlangsung pada 22 dan 23 November ini, manakala bagi DUN Sungai Pelek pada 29 dan 30 November manakala DUN Tanjung Sepat pada 6 dan 7 Disember.
Program dilaksanakan secara dalam talian dengan penyertaan dihadkan seramai 25 belia bagi satu sesi dan mereka yang berminat boleh mengisi butiran menerusi https://forms.gle/xi5TLcAGbCN2iofy6. -UTUSAN ONLINE










