Spesies ikan nemo dibiak dalam akuarium - Utusan Malaysia

Spesies ikan nemo dibiak dalam akuarium

DZULFIKKAR Baitulma'mur (kanan) yang mengetuai penyelidikan pembiakan ikan nemo mengalihkan anak ikan nemo yang berjaya dibiakkan di Akuarium Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang, Batu Maung, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Setelah tiga tahun berusaha menjalankan pelbagai teknik penyelidikan, pasukan penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) berjaya membiak secara konsisten beberapa spesies ikan inggu (clownfish) di Akuarium Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang, Batu Maung di sini.

Penolong Pegawai Penyelidik FRI, Dzulfikkar Baitulma’mur berkata, antara spesies ikan inggu atau lebih dikenali nemo yang berjaya dibiak ialah Amphiprion oscellaris, Amphiprion perideraion, Amphiprion biaculeatus dan pasangan kacukan di antara (Amphiprion ephippium x Amphiprion melanopus).

Dzulfikkar yang mengetuai penyelidikan ikan nemo itu berkata, penyelidikan ikan itu bermula pada 2018 selepas pihaknya mendapati ikan inggu yang ditempatkan sebagai ikan pameran di Akuarium Tunku Abdul Rahman mula menunjukkan perubahan untuk membiak.

“Kita mencuba pelbagai teknik secara cuba dan jaya untuk menjalankan pembiakan ikan nemo kerana pasukan kami tidak pernah menjalankan penyelidikan mengenainya sebelum ini.

“Selepas lebih lima kali percubaan, kami berjaya menemui teknik yang betul dan mula membiak ikan nemo ini dengan teknik induk dipindahkan bersama dengan telur,” katanya ketika ditemui di Akuarium Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang, di sini semalam.

Menurutnya, kejayaan pembiakan yang konsisten beberapa spesies ikan nemo itu diharapkan dapat mewujudkan satu sumber baharu pendapatan kepada pengusaha-pengusaha ikan hiasan air masin.

Katanya, ikan nemo mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan untuk dibiak menjadi ikan induk yang bersedia untuk dijual sebagai ikan hiasan.

“Ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri malah harganya juga mencecah ratusan ringgit dan mampu menjana pendapatan kepada mereka yang berminat untuk membiakkan ikan hiasan ini,” katanya.

Tambahnya, pasukan penyelidik FRI juga bersedia untuk menawarkan latihan kepada mereka yang berminat untuk mendalami teknik pembiakan ikan nemo.

“Sasaran kami ialah untuk memberikan peluang pendapatan baharu menerusi pembiakan ikan nemo sama ada secara komersial atau di kawasan rumah sendiri kerana pembiakan ikan nemo ini mempunyai masa depan yang cerah dalam industri ikan hiasan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kejayaan tersebut juga mampu menghalang pengambilan ikan nemo yang tidak terkawal daripada persekitaran liar yang boleh menjejaskan populasi ikan nemo.

“Teknik pembiakan sama yang ditambah baik dapat digunakan kepada spesies dan kacukan ikan nemo yang lain pada masa depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya