KUALA SELANGOR: Selangor menjadi negeri kedua tertinggi memperoleh pendaratan ikan yang dianggarkan berjumlah 70 tan metrik pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, hasil pendaratan ikan sepanjang tempoh berkenaan bernilai kira-kira RM101 juta.
“Selangor mencatat pendaratan ikan tertinggi selepas Perak dan kedudukan itu kebiasaannya sentiasa berubah-ubah.
“Jeti nelayan di Sekinchan masih merekodkan tangkapan paling tinggi berbanding jeti lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Penyerahan Bantuan Nelayan Pakej Kita Selangor 2.0 di Jeti Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor di sini, hari ini.
Jelas Izham, jumlah tangkapan itu dianggap tinggi walaupun nelayan tempatan masih menghadapi pelbagai kekangan.
“Kekangan itu termasuk mengenai keadaan di Selat Melaka yang sering kali tercemar dan masalah hakisan.
“Namun, kita amat menghargai LKIM yang dapat meningkatkan prestasi tangkapan dan pendaratan ikan di Selangor,” ujarnya.
Tambah beliau, nelayan diharap tidak hanya memfokuskan tangkapan ikan semata-mata namun menceburi sektor pelancongan bagi menambah sumber pendapatan.
“Sebagai contoh, kita mempunyai Sky Mirror yang menyediakan pelbagai pakej pelancongan terutama penyediaan pengangkutan.
“Kita sedang berusaha membantu persatuan nelayan untuk meneliti cara lain mendapatkan sumber pendapatan tambahan,” katanya.
Dalam pada itu, Izham memaklumkan pihaknya memperuntukkan RM3 juta kepada nelayan dan petani bagi program bantuan berkenaan.
“Bantuan itu disalurkan dalam bentuk subsidi minyak petrol RM300 terdiri dalam kalangan nelayan laut dan sungai selain bantuan bot serta enjin.
“Sebanyak RM1.4 juta daripadanya diagihkan kepada nelayan membabitkan seramai 3,000 penerima,” katanya. -UTUSAN ONLINE