SHAH ALAM: Beberapa lembangan sungai di Selangor dikenal pasti untuk melengkapkan usaha mengatasi ancaman banjir sekali gus mengurangkan kesan terhadap rakyat dengan peruntukan sebanyak RM9.25 juta bagi Projek Tebatan Banjir Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tersebut diberikan kepada projek tebatan banjir lembangan Sungai Langat, lembangan Sungai Klang dan lembangan Sungai Selangor.
“Semua projek ini perlu dilaksanakan segera terutama lembangan Sungai Langat.
“Selain itu, projek-projek ini juga akan dilaksanakan secara sinergi dengan projek-projek yang melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan yang lebih holistik dalam menangani isu banjir di Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.
Beliau menambah, bagi memastikan projek tebatan banjir itu diuruskan dengan baik selepas ia siap, menurutnya, sebanyak RM15.6 juta diberikan untuk perbelanjaan pengurusannya.
Peruntukan tersebut diberikan menerusi salah satu enam teras iaitu mewujudkan persekitaran hijau dan meluaskan pembangunan lestari dalam Belanjawan Selangor 2022 yang bernilai RM2.232 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM190.73 juta diperuntukkan bagi kesemua inisiatif ke arah mewujudkan persekitaran hijau dan meluaskan lagi pembangunan lestari di negeri ini.
Selain itu, sebanyak RM9.2 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi menambah baik sistem saliran di kawasan yang telah dikenal pasti.
“JPS Selangor juga akan melaksanakan projek Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated dan Kampung Budiman, Klang. Peruntukan dua projek tersebut masing-masing bernilai RM15 juta dan RM20 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE