PETALING JAYA: Richiamo Coffee Sdn. Bhd., pemilik rangkaian kedai kopi premium Richiamo Coffee menjalinkan kerjasama dengan jenama motosikal dari Austria, Husqvarna dengan mengendalikan siri jelajah motosikal Svartpilen 250, Vitpilen 401 dan Svartpilen 401.
Siri jelajah bermula kelmarin itu akan memperkenalkan model motosikal Café Racer Husqvarna, bermula di cawangan Richiamo Coffee Cyberjaya dan tamat di Richiamo Coffee Bukit Beruntung.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, kerjasama dengan jenama motosikal terkemuka antarabangsa ini merupakan satu peluang berharga.
“Richiamo Coffee berbangga kerana terdapat jenama antarabangsa berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan jenama tempatan dan kebetulan pula model yang diperkenal ini merupakan model Café Racer dan ia bersesuaian dengan konsep kafe kami.
“Melalui kerjasama ini, Husqvarna akan membawa motosikal model Café Racer ke cawangan Richiamo Coffee di sekitar Lembah Klang dan para peminat motosikal boleh melakukan tunggang uji yang disediakan oleh pihak Husqvarna.
“Di samping itu, pengunjung yang menyertai sesi tunggang uji itu juga boleh menikmati minuman Richiamo Coffee yang disediakakn di setiap lokasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sesi jelajah itu akan bermula di Richiamo Coffee UTMKL (30 Oktober), Richiamo Coffee Cyberjaya (6 November), Richiamo Coffee Bukit Beruntung (13 November).
Siri jelajah ini dibawakan oleh pengedar Husqvarna Wilayah Tengah Welly World Cycle Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Zamry berkata, jika siri jelajah ini berjaya menarik ramai peminat motosikal Café Racer menguji pihak Husqvarna bersedia untuk meluaskan sesi uji tunggang di rangkaian Richiamo Coffee seluruh negara dengan sokongan para pengedarnya. – UTUSAN ONLINE