Pulau Pinang mohon senaraikan LTAPP dalam VTL Malaysia-Indonesia  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang mohon senaraikan LTAPP dalam VTL Malaysia-Indonesia 

YEOH SOON HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang memohon Kerajaan Pusat untuk turut menyenaraikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) terutamanya melibatkan  Malaysia dan Indonesia. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, pengumuman awal yang dibuat sebelum ini berkaitan VTL Malaysia-Indonesia membolehkan perjalanan udara dilaksanakan antara kedua-dua negara, namun bagi Malaysia ia hanya melibatkan Kuala Lumpur. 

Bagaimanapun, katanya, bagi pihak kerajaan Indonesia, dua bandar tersenarai di dalam VTL itu iaitu bandar Bali dan Jakarta. 

“Ketibaan pelawat dari Indonesia adalah penting dalam mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi negeri dan negara. 

“Jika LTAPP diberi peluang yang sama seperti KLIA, kita pasti akan melihat impak ekonomi yang baik dalam keseluruhan rantaian bekalan untuk utara Semenanjung daripada penginapan, makanan dan minuman, logistik, runcit, pelancongan dan juga pengangkutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui Aturan Koridor Perjalanan (TCA) atau Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dijangka awal tahun depan. 

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara sebelum boleh ditambah destinasi lain yang menunjukkan risiko yang rendah. 

Menurut Soon Hin, sepanjang lima tahun lalu (2015 hingga 2020),  Indonesia mendahului carta ketibaan antarabangsa untuk LTAPP. 

“Perkara ini harus menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan oleh Putrajaya dalam VTL Malaysia dan Indonesia,” katanya. 

Selain itu katanya, statistik Jabatan Imigresen Pulau Pinang juga menunjukkan LTAPP mencatatkan  275,933 ketibaan dari Indonesia pada tahun 2019;  245,920 (2018);  279,173 (2017);  264,546 (2016) dan 268,892 (2015). 

“LTAPP sentiasa menjadi salah satu lapangan terbang antarabangsa penting di Asia Tenggara yang mengalu-alukan ketibaan pelancong dari seluruh dunia. 

“Menjadikan LTAPP sebagai sebahagian daripada VTL juga membantu menyediakan jaringan perniagaan serta kemudahan yang lebih baik kepada pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.