Proton lancar Galeri Inspirasi - Utusan Malaysia

Proton lancar Galeri Inspirasi

MODEL klasik Proton Saga antara produk yang dipamerkan di Galeri Inspirasi Proton. - Ihsan Proton
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat kereta nasional, Proton telah melancarkan galeri jenama baharunya, Galeri Inspirasi yang merupakan langkah terbaharu dalam perjalanan penjenamaan semula syarikat yang bermula sejak 2019.

Galeri yang terletak di kompleks Centre of Excellence itu akan dibuka kepada orang awam setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Terbahagi kepada beberapa zon, Galeri Inspirasi mempamerkan sejarah Proton, keterlibatan mereka yang berkait secara langsung dengan industri automotif Malaysia, rangkaian domestik dan antarabangsa, serta teknologi masa kini dan masa hadapan yang dipersembahkan secara tersusun dan mengguna pakai teknologi seperti virtual reality (VR) dan augmented reality (AR) untuk memberikan pengalaman yang menakjubkan. 

Ia turut menampilkan outlet Kafe Proton yang pertama dan koleksi model kereta bersejarah Proton untuk tatapan peminat dan kebanyakan pelawat.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pihaknya telah banyak mencapai kejayaan serta memperkenalkan pelbagai inovasi saban tahun maka perjalanan tersebut dengan bangganya dipamer dan dikongsikan di Galeri Inspirasi tersebut. 

Ujarnya, dalam masa sama, produk Proton telah berkembang dengan pantas beberapa tahun kebelakangan ini dan kesempatan ini diambil untuk menunjukkan kepada pembeli apa yang akan ditawarkan pada masa hadapan dan apa yang mereka boleh jangkakan dari Proton.

“Kami telah membuat pelaburan bagi Galeri Inspirasi dan penambahan informasi akan dilakukan seiring dengan perjalanan Proton dengan kemasukan model baharu. 

“Ia dinamakan Galeri Inspirasi kerana kami berharap pelawat akan mendapat inspirasi daripada cerita perjalanan kami seterusnya memberikan semangat untuk perjalanan diri mereka tidak mengira apa bidang yang diceburi. 

“Sudah tentu, ia juga berkait dengan slogan kami iaitu Inspiring Connections dan membantu dalam menguatkan penceritaan jenama dan penyampaian mesej kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Pemilihan lokasi galeri jenama di Centre of Excellence membolehkan pelawat untuk merasai pengalaman sebenar pusat sehenti yang turut mempunyai pusat Pameran Kristal yang memberi mereka peluang melihat, pandu uji dan membuat tempahan produk terkini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya