CALON dan parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh terlalu selesa ketika saat-saat terakhir hari pengundian kerana macam-macam boleh berlaku sebelum pengundi keluar memangkah kertas undi di pusat pengundian.
Meskipun terdapat calon dilihat agak selesa kerana terlalu yakin menang di kawasan ditandingi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku menerusi taktik pihak lawan demi misi kemenangan membentuk kerajaan negeri.
Situasi itu menyebabkan jangkaan kerusi menang oleh parti-parti bertanding boleh berubah di mana kerusi putih bertukar kelabu dan akhirnya memberikan keputusan ‘up set’ pada waktu pengumuman keputusan pilihan raya.
Hal ini kerana pusingan pertama kempen bermula agak suram, sebaliknya lain pula berlaku pada minggu kedua apabila wujud cubaan pihak tertentu yang semakin ligat mencetuskan provokasi bagi melemahkan lawan.
Mungkin mereka mengambil pemikiran tokoh falsafah perang China, Szu Tzu iaitu ‘Di tengah kekacauan, juga ada kesempatan’ dalam pilihan raya penuh sengit ini.
Misalnya ada ahli parti tertentu membuat pengumuman saat akhir untuk keluar keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada calon lawan. Malah ada pihak cuba menyebarkan tohmahan dan persepsi kepada calon lawan sama ada melalui media sosial dan semasa bagi mempengaruhi pemikiran pengundi..
Tidak kurang hebatnya, terdapat juga calon dan pemimpin politik didakwa melemparkan tuduhan antara sama lain.
Memandangkan terdapat 40 peratus pengundi adalah atas pagar, malah mereka mempunyai peranan dalam menentukan mana-mana pihak bertanding, justeru strategi perlu dilakukan untuk mempengaruhi minda mereka menjelang hari pengundian.
Berdasarkan kajian dilakukan terhadap 4,000 responden pengundi Melaka baru-baru ini mendapati 40 peratus pengundi adalah atas pagar manakala selebihnya pengundi setia yang kebanyakan terdiri dalam kalangan ahli UMNO.
Mereka bakal menjadi penentu kemenangan ketiga-tiga parti bertanding memandangkan mereka belum membuat keputusan pihak yang dipilih dalam pilihan raya itu.
Kesimpulannya calon diminta tidak terlalu selesa dengan permainan pihak lawan dan mereka seharusnya ada pelan A dan pelan B jika berhadapan serangan musuh masing-masing. – UTUSAN ONLINE










