Pinjaman ah long lebih mudah lulus - Utusan Malaysia

Pinjaman ah long lebih mudah lulus

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Seorang peminjam ah long mengakui mereka memilih untuk membuat pinjaman haram itu kerana mendakwa lebih mudah dan cepat berikutan beban kewangan dihadapi.

Itu antara luahan seorang peniaga yang mahu dikenali Fikri, 46, apabila pernah berdepan dengan pengalaman hitam dalam hidupnya selepas meminjam ah long.

“Saya mengetahui pinjaman haram itu daripada kawan-kawan dan ketika itu juga terdesak perlukan duit untuk bayar pinjaman kereta, rumah dan sewa kedai berikutan perniagaan merosot kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, saya hubungi pihak mereka untuk meminjam sebanyak RM10,000 dan diluluskan serta merta selain syarat dikenakan seperti boleh bayar bila-bila masa juga mudah bagi saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun, katanya, selepas itu,  dia menghadapi masalah untuk membayar semula pinjaman tersebut mengikut jadual yang ditetapkan.

Tambahnya, dia kemudian menerima  pelbagai ugutan daripada ah long tersebut termasuk  ingin mencederakannya.

“Sehingga akhirnya, saya terpaksa meminjam daripada saudara untuk langsaikan hutang ah long kerana risau akan keselamatan diri dan keluarga dan ia kali pertama dan terakhir saya berurusan dengan mereka,” luahnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusof berkata, sindiket ah long masih aktif hingga sekarang dengan menyasarkan kalangan peniaga yang rata-rata dihimpit kesusahan ketika PKP.

“Mereka menawarkan diskaun caj pemprosesan seperti jika peniaga ingin pinjam RM2,000 mereka akan terima RM1,900 iaitu RM100 diskaun berbanding RM200 diskaun sebelum ini.

“Selain itu, tempoh bayaran balik juga bergantung kepada peminjam atau peminjam boleh saja bayar bila-bila masa dan ia menjadi tarikan kepada peminjam lalu terpedaya,” ujarnya.

Tambahnya, jika peminjam mampu bayar balik tidak apa, namun, risiko yang berbahaya bakal ditanggung peminjam yang tidak dapat membayar balik seperti simbahan cat dan ugutan bunuh. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya