PGA rampas 2.5 tan daun ketum - Utusan Malaysia

PGA rampas 2.5 tan daun ketum

AZHAR HASHIM (tiga dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas di sebuah kebun getah di Wang Kelian dalam sidang akhbar Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia Thailand di Pos BKC7, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sindiket penyeludupan daun ketum beralih arah dari laluan di pintu keselamatan di sini dengan kembali aktif menggunakan jalan bukit di sekitar Bukit Wang Burma, Wang Kelian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sindiket yang dipercayai melibatkan sejumlah ahli yang ramai itu dikesan aktif menggunakan laluan bukit sejak kebelakangan ini dengan antara modus operandinya ialah mengumpulkan guni berisi daun ketum di sebuah kebun getah di tiga lokasi berhampiran sebelum dipikul pada jarak lima kilometer ke sempadan Malaysia-Thailand untuk diseludup.

Bagaimanapun, taktik tersebut berjaya dihidu Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor Perak yang merampas kira-kira 2.5 tan metrik daun ketum dianggarkan bernilai RM73,350 di tiga lokasi dalam sebuah kebun getah di Kampung Wang Kelian di sini Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor Perak, Superintenden Azhar Hashim berkata, rampasan pertama kira-kira pukul 6.23 petang itu melibatkan rampasan sebanyak 975 kilogram daun ketum yang diletakkan di dalam 22 guni putih dan 23 plastik hitam dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM30,150.

Katanya, rampasan seterusnya, melibatkan 420 dan 1,020 kilogram daun ketum masing-masing bernilai antara RM30,600 dan RM12,600 di sekitar kawasan sama.

“Daun ketum ini dipercayai dibawa ke kebun tersebut dengan kenderaan untuk dikumpul terlebih dahulu sebelum dibawa ke sempadan melalui jalan bukit di Bukit Wang Burma. 

“Mereka dipercayai mengubah laluan daripada jalan pagar keselamatan kerana mungkin menganggap kami tidak melakukan kawalan di kawasan tersebut. 

“Tetapi anggota PGA sentiasa membuat kawalan sempadan negara sama ada di pagar keselamatan dan juga di sekitar bukit di Wang Kelian,” katanya dalam sidang akhbar mengenai kejayaan Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia Thailand di  Pos BKC7 di sini hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, dari 24 Oktober hingga hari ini, sebanyak lapan kes melibatkan rampasan daun ketum dan tangkapan dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dibuat di negeri ini dan Kedah.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 2.9 tan metrik bernilai RM88,020 dan sebuah kereta bernilai RM13,000 dalam rampasan di sekitar Chuping, Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar selain Wang Kelian.

“Sementara itu, kami juga menahan dua orang lelaki warga Myanmar secara berasingan masing-masing pukul 8.21 pagi dan 8.55 malam pada 1 November di Pos M17 dan Pos M7, Bukit Kayu Hitam.

“Mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an itu dipercayai memasuki negara ini untuk bekerja di kedai makan. Ini kerana mereka masih muda dan tidak kelihatan seperti pekerja buruh,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN