Penyokong iringi calon: Tiga kertas siasatan dibuka - Utusan Malaysia

Penyokong iringi calon: Tiga kertas siasatan dibuka

22 calon Bebas akan bertanding dalam PRN Melaka 20 November ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung tindakan penyokong parti berhimpun ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut yang dipercayai berlaku di sekitar kawasan pusat penamaan calon (PPC). 

Jelasnya, laporan itu diterima sejak pagi sehingga pukul 3 petang tadi, membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Telok Mas, Tanjung Bidara dan Kota Laksamana. 

“Berdasarkan laporan dibuat, seramai 15 hingga 25 penyokong didapati telah hadir untuk mengiringi calon yang bertanding dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Laporan polis pertama diterima membabitkan kejadian di PPC di DUN Telok Mas, diikuti Tanjung Bidara dan Kota Laksamana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, kesemua kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun memberitahu, setakat ini, tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada individu mahupun kumpulan yang terlibat dalam kejadian.

“Kompaun akan dikeluarkan sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Rais Mukhliz Azman Aziz memaklumkan kejadian pelanggaran SOP berlaku di DUN Telok Mas membabitkan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi, seramai 25 individu yang memakai baju kemeja-T berwarna merah dilihat mengiringi calon, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat. 

Pasukan Cantas Khas kemudian bertindak menyuraikan kumpulan tersebut dan memberi amaran untuk bersurai serta berada 50 meter dari PPC di Kompleks Komuniti Desa.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN