PETALING JAYA : Pendedahan dimuat naik oleh pengguna akaun Twitter dikenali sebagai ‘@edisi_siasatmy’ yang mendakwa segelintir pegawai penguat kuasa dipercayai terlibat dengan kes penyelewengan, salah guna kuasa serta rasuah adalah kenyataan sengaja diada-adakan bagi mewujudkan suasana sensasi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya masih mengenal pasti individu sebenar yang mengendalikan akaun twitter berkenaan.
Kata beliau, siasatan itu dijalankan susulan sebanyak 13 kertas siasatan diterima pihaknya berhubung pendedahan berkenaan.
“Setiap perkara yang dinyatakan pengendali laman Twitter itu sekiranya ia melibatkan Polis Diraja Malaysia, kami akan salurkan maklumat kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman untuk disemak kebenarannya.
“Akaun media sosial berkenaan dibuat untuk mewujudkan satu suasana sensasi yang menyiarkan berita-berita sensasi mengenai penyelewengan dalam kalangan agensi-agensi kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Taliaj) 2021 di Berjaya Times Square Hotel di sini hari ini.
Baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai pendedahan pemilik akaun Twitter berkenaan yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat masalah salah laku, di samping turut mendakwa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah serta terlibat dengan rasuah.-UTUSAN ONLINE