Penantian 61 keluarga untuk dapat geran tanah berakhir - Utusan Malaysia

Penantian 61 keluarga untuk dapat geran tanah berakhir

HASNI Mohammad menerangkan sesuatu kepada salah seorang penerima hak milik tanah bagi Kampung Bukit Nyamuk dan Kampung Seri Maju Jaya di Renggam, Kluang, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Penantian 61 keluarga yang meneroka kawasan penempatan di Kampung Sri Maju Jaya dan Kampung Bukit Nyamuk, di sini untuk mendapat geran hak milik tanah akhirnya menjadi kenyataan.

Permohonan yang mula dilakukan sejak tahun 1970 itu bagaimana pun melalui pelbagai kepayahan sebelum diluluskan, malah ada antara penerima tersebut adalah golongan generasi kedua dan ketiga daripada pemohon asal.

Rozli Hassim, 46, yang merupakan generasi kedua amat bersyukur dengan pengurniaan hak milik itu kerana sudah terlalu lama menunggu sehingga ada pemohon asal yang sudah meninggal dunia.

Katanya, sebagai pewaris, tanah yang dikurniakan itu akan dimanfaatkan sebaiknya apatah lagi ianya merupakan aset keluarga yang bakal diwarisi secara turun temurun.

“Tanah yang dikurniakan sudah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan kami amat bersyukur kerana ianya memberikan pulangan lumayan keatas usaha yang diusahakan sejak 51 tahun lalu.

“Insha-Allah, ianya akan dijaga dengan sebaik-baiknya kerana mempersia-siakan pengurniaan hak milik tanah ini boleh diibaratkan sebagai menderhakai kepercayaan diberikan kerajaan kepada kita,” katanya.

Rozli berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menerima geran hak milik tanah yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Dataran Mini Stadium Renggam, Renggam di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan.

Sementara itu, Rahmat Sarimin, 65, dari Kampung Bukit Nyamuk berkata, tanah seluas 2.214 hektar yang dimilikinya secara rasmi kini sudah diusahakan dengan tanaman selain sebuah kediaman untuk keluarganya.

“Lebih utama sekali, usaha yang dilakukan oleh kami sebelum ini akhirnya membuahkan hasil dan ianya kini boleh diwarisi oleh keluarga masing-masing.

“Kami berharap semua penduduk dapat menjaga tanah masing-masing kerana ini adalah hadiah yang amat bermakna kerana kami menanti sejak sekian lama,” katanya.

Kerajaan negeri bersetuju meluluskan sebanyak 179 plot bagi Kampung Seri Maju Jaya dan 119 untuk Kampung Bukit Nyamuk. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN