[PARLIMEN] Pemohon GKP tidak lulus dipertimbang untuk bantuan BKM - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Pemohon GKP tidak lulus dipertimbang untuk bantuan BKM

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pemohon-pemohon Geran Khas Prihatin (GKP) akan dipertimbangkan menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara automatik jika permohonan mereka tidak diluluskan sebelum ini.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemohon GKP itu tidak perlu mengemukakan permohonan baharu, namun pihaknya akan memastikan tiada mana-mana individu yang layak dan memerlukan, tercicir daripada menerima bantuan.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa pemohon GKP yang tidak diluluskan permohonannya kerana sebelum ini menerima Bantuan Prihatin Rakyat atau Bantuan Khas Covid-19, mereka akan dipertimbangkan untuk bantuan BKM secara automatik tanpa perlu membuat permohonan.

“Di samping itu, data daripada sembilan agensi kerajaan akan dimasukkan ke dalam data BKM bagi mengurangkan exclusion error.

“Ia melibatkan agensi kerajaan seperti e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni perumahan awam, projek perumahan rakyat (PPR), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), ibu tunggal, penerima skim insurans Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang juga akan dimasukkan ke dalam data permohonan BKM,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tengku Zafrul turut berkata tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 hingga 31 Januari tahun depan.

Jelasnya lagi, kerajaan juga tidak merancang untuk mengurangkan bantuan kepada golongan rentan bagi 2022.

“Bagi 2022, kerajaan meningkatkan lagi bantuan tunai kepada B40 tetapi peruntukan RM8.2 bilion BKM disediakan bawah KWC (Kumpulan Wang Covid-19) dan bukan bawah butiran subsidi serta bantuan tunai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN