PUTRAJAYA: Sistem Pengurusan Halal Malaysia (SPHM) berjaya memproses sejumlah 12,612 permohonan pensijilan halal domestik dan antarabangsa semasa krisis wabak Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, komitmen industri untuk meletakkan jaminan halal sebagai keutamaan besar perlu diberi pujian melalui pelaksanaan sistem itu waima sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pada masa sama, 43 syarikat tempatan telah diluluskan bagi permohonan luar negara di bawah SPHM diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kejayaan tersebut ujarnya, memperlihatkan pihak kerajaan mampu mengadaptasi pendekatan norma baharu bagi terus menyokong industri halal dan melestarikan pensijilan halal Malaysia.
“Secara keseluruhan, pensijilan halal Malaysia tidaklah sukar diperoleh usahawan, malah ia bakal memberi manfaat besar kerana standard negara ini amat tinggi dan diperakui seluruh dunia,” katanya ketika berucap merasmikan penutup Persidangan Halal Kebangsaan 2021 di sini hari ini dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pensijilan halal mula digunakan di negara ini secara rasmi lebih 50 tahun lalu selari keputusan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Pertama pada 1970 lepas, disusuli langkah pengeluaran surat perakuan halal kepada produk memenuhi keperluan syarak pada 1974 oleh Pusat Penyelidikan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Pada akhir persidangan itu, Idris turut menyampaikan anugerah kepada pemenang SPHM Terbaik 2021 yang buat kali pertama diadakan dengan meliputi empat kategori industri berbeza sebagai penghargaan kepada syarikat pemegang SPHM yang konsisten memberikan komitmen tinggi sepanjang tempoh pensijilan halal tanpa ada rekod ketidakakuran.
Ajinomoto (Malaysia) Berhad diumumkan menerima anugerah itu bagi kategori industri besar, manakala Zensho Foods Malaysia Sdn. Bhd. pula meraih untuk kategori industri sederhana.
Turut diumumkan pemenang ialah Perniagaan Orang Kampung Sdn. Bhd. bagi kategori kecil, sementara syarikat Green Master Global Fine Food Sdn. Bhd. untuk kategori industri mikro. -UTUSAN ONLINE










