TELUK INTAN: Kerajaan digesa menyelesaikan masalah banjir di Teluk Intan yang berlaku sejak sekian lama.
Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, apatah lagi peruntukan sebanyak RM80 juta untuk Fasa 2 projek tebatan banjir di Teluk Intan telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.
Menurutnya, kerajaan tidak perlu melengahkan lagi projek tebatan itu untuk mengatasi banjir yang kerap berlaku di sini.
“Masalah banjir sudah membelenggu rakyat di Teluk Intan lebih dari setengah abad, sampai bila kerajaan baharu hendak selesaikan masalah ini?
“Saya menggesa menteri yang berkenaan memberi arahan segera untuk memulakan pembinaan Fasa 2 projek tebatan banjir di Teluk Intan memandangkan kerajaan PH telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80 juta sejak 2019. Nak tunggu apa lagi?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada Jun 2019, Kor Ming dalam sidang akhbar mengumumkan projek tebatan banjir sepanjang 5.5 kilometer dengan kos RM80 juta akan dilaksanakan bagi memastikan masalah banjir di dalam Parlimen ini dapat diatasi.
Dikenali sebagai Projek Tebatan Banjir Fasa Kedua, ia bukan sahaja berfungsi sebagai tebatan banjir malah apabila siap, ia akan dijadikan sebagai taman rekreasi.
Ia sepatutnya menjadi taman rekreasi Water Front di atas tebatan banjir terbesar di negara ini di sini selain bertujuan menarik kedatangan pelancong.
Sementara itu, mengenai banjir yang berlaku di sini baru-baru ini, Kor Ming berkata, pasukan khidmat DAP Teluk Intan segera ke lokasi banjir untuk memberikan bantuan.
Menurutnya, DAP menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan estet, kampung termasuk kawasan pekan.
“Setakat ini kami sudah berjaya membantu lebih 200 buah keluarga yang terjejas banjir,” katanya. -UTUSAN ONLINE