GEORGETOWN: Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff mempersoalkan tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dilihat berterusan ‘mengugut’ Pulau Pinang untuk mendapatkan tuntutan pelbagai bayaran yang tidak munasabah.
Mohd. Yussof berkata, cara Menteri Besar Kedah yang sering menggunakan saluran media untuk mengugut Pulau Pinang itu disifatkan tidak wajar memandangkan terdapat saluran lain yang lebih sesuai.
“Pampasan RM100 juta yang dituntut serta pelbagai tuntutan lain bukannya kita tidak setuju, namun, tidak wajar dihebahkan menerusi saluran media kerana Pulau Pinang dan Kedah adalah negeri yang merdeka.
“Kenapa seolah-olah mengugut Pulau Pinang sedangkan dia sendiri (Muhammad Sanusi) pun pernah belajar di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Muhammad Sanusi akan terus ‘pulun’ untuk mendapatkan tuntutan pelbagai bayaran daripada Kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui banyak pihak.
Muhammad Sanusi berkata, tuntutan tersebut dibuat bukan atas kepentingan beliau sendiri, sebaliknya bakal dimanfaatkan seluruh rakyat serta demi masa depan Kedah.
Muhammad Sanusi antaranya menuntut bayaran pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta selain turut meminta Pulau Pinang membayar caj pengambilan air mentah Sungai Muda.
Menurut Mohd. Yussof, setiap pemimpin termasuk Muhammad Sanusi perlu sentiasa menyematkan di dalam diri mereka yang mana pangkat dan kedudukan yang ada pada mereka bersifat sementara.
“Kita kena ingat kuasa hanya sementara, bila-bila masa Allah SWT nak tarik boleh tarik, hidup ini perlu berbakti kerana amanah yang diberikan kepada kita.
“Perkara ini yang perlu sentiasa setiap pemimpin ingat termasuk Sanusi, saya cakap perkara ini kerana saya penduduk Pulau Pinang dan ada ruang untuk kedua-dua negeri berbincang dengan lebih baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE










