Kemahiran bukan digital beri pulangan tinggi - Utusan Malaysia

Kemahiran bukan digital beri pulangan tinggi

MOHD. Zabri Yusoff (dua kiri) menyampaikan surat tawaran kepada pelajar sebagai simbolik penerimaan pelajar program profesional UniMAP dan dana skim pinjaman TVET (Pekerja) PTPK di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaburan tinggi dalam memperkasakan kemahiran kognitif yang bersifat bukan rutin sewajarnya diperbanyakkan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Beliau berkata, hal ini diyakini turut membawa pulangan tinggi dalam jangka masa panjang kepada negara.

“Kebanyakan majikan sekarang meningkatkan keperluan untuk mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam digital.

“Justeru, elemen lain yang perlu dipertingkatkan pekerja termasuk juga kemahiran lain seperti sosioemosi, kemahiran berfikir secara kreatif selain mampu berdikari untuk melaksanakan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Program Profesional Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Dana Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) (Pekerja) di bawah Peruntukan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) Kementerian Sumber Manusia kepada UniMAP, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd. Zabri Yusoff.

Dalam pada itu, Noraini berkata, kepesatan perubahan dunia, globalisasi, demografi dan teknologi serta terkini Revolusi Industri Keempat menuntut pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menguasai sepenuhnya kemahiran-kemahiran abad ke-21.

“Hal ini kerana kerjaya yang wujud pada hari ini mungkin akan lupus ditelan zaman. Automasi akan memberikan implikasi secara langsung dalam keperluan ‘deskilling, reskilling, dan upskilling‘.

“Perkara ini disokong oleh tinjauan dijalankan oleh Bank Dunia yang memberikan gambaran bahawa sektor tenaga kerja berisiko tinggi untuk digantikan dengan automasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Ujarnya lagi, Bank Dunia turut menjangkakan separuh daripada pekerjaan di Malaysia bakal digantikan dengan automasi dalam jangka masa panjang dan ini termasuklah akauntan, operator mesin dan perkilangan, juruteknik kejuruteraan elektronik, juruteknik penerbangan dan juruteknik kejuruteraan elektrik.

Berhubung Program Profesional UniMAP, beliau berkata, dikhabarkan PTPK berbesar hati menyumbang Dana Skim Pinjaman TVET (Pekerja) kepada UniMAP dan difahamkan dengan dana ini, UniMAP bakal menawarkan tempat kepada 9,000 calon daripada pelbagai tahap pengajian meliputi diploma, sarjana muda dan sarjana dalam bidang TVET pembinaan untuk tempoh lima tahun bagi mengikuti program ‘upskilling’.

“Calon yang berjaya akan memperoleh sijil daripada UniMAP, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kompetensi CIDB. Lebih istimewa, dengan pendekatan Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh serta secara mod separuh masa, calon tidak perlu berhenti bekerja untuk menyambung pengajian masing-masing.

“Hal ini secara tidak langsung menyokong kepada pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat atau PSH dalam kalangan rakyat seperti yang dizahirkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 di bawah Lonjakan Ketiga iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat.

“Bahkan, ini juga selari dengan Sustainable Development Goals (SDGs) 2030 melalui Goal 4 (SDG 4) iaitu ‘Memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua’,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN