Jualan Toyota, Lexus meningkat - Utusan Malaysia

Jualan Toyota, Lexus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dengan hampir semua kegiatan perniagaan kini beroperasi semula, sektor automotif terus menyaksikan prestasi jualan yang meningkat susulan peningkatan pesanan dan penyerahan setiap bulan.

UMW Toyota Motor (UMWT) merupakan antara syarikat yang meraih kadar pemulihan pasaran yang pantas apabila jumlah kenderaan Toyota dan Lexus yang dijual pada Oktober meningkat enam peratus kepada 8,500 unit berbanding September.

Presiden UMWT, Ravindran K. berkata, jumlah jualan keseluruhan bagi tahun ini setakat akhir Oktober adalah 54,618 unit, iaitu 25 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ujarnya, tempahan juga kini mula dibuka bagi model Toyota Corolla Cross Hybrid yang ditunggu-tunggu, sebuah model dengan teknologi hibrid elektrik yang pertama dipasang dalam negara (CKD). 

“Model terbaru ini ditawarkan dengan harga anggaran bermula RM137,000. Pelanggan juga boleh memilih dua varian berlainan iaitu Corolla Cross 1.8V dan 1.8G dengan enjin 1.8 liter DOHC 16-injap Dual VVT-i.

“Ini adalah peristiwa penting dalam sejarah Toyota di Malaysia dan kami teruja dengan pelancaran model CKD Toyota dengan teknologi hibrid elektrik yang pertama. Ini bermakna harga yang lebih menarik dan mampu milik dapat ditawarkan, agar lebih ramai yang dapat menikmati manfaat teknologi maju,” katanya dalam kenyataan.

Ketika model Corolla Cross mula diperkenalkan, kereta ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand namun kini, tiga varian model berkenaan dipasang di kilang ASSB di Bukit Raja, Selangor.

Selain Corolla Cross Hybrid, dua lagi varian adalah Corolla Cross 1.8V dan Corolla Cross 1.8G.

Semua pengedar sah Toyota telah mula mengambil pesanan untuk kesemua tiga varian yang ada.

Anggaran harga termasuk cukai jualan dan tidak termasuk insurans bagiToyota Corolla Cross 1.8 Hybrid (RM137,000),Toyota Corolla Cross 1.8V (RM129,000) manakala Toyota Corolla Cross 1.8G (RM123,000).

Model ini tampil dengan lima warna yang memikat iaitu Kelabu Celestite Metalik (hanya untuk Corolla Cross Hybrid), Putih Mutiara Platinum, Merah Mika Metalik, Biru Nebula Metalik dan Perak Metalik.

Tambah Ravindran, lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022 dari 31 Disember 2021 sebelum ini pasti akan membantu mengekalkan momentum jualan dalam keadaan pasaran yang kini semakin pulih. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN