JASIN: Jari kaki seorang pekerja kolam ternakan ikan hancur selepas tersepit dalam mesin pengisar ketika membuat kerja di Kampung Kemengkang di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 45 tahun terpaksa menahan sakit hampir sejam sebelum kakinya berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP, Bukari Rejab berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.47 petang dan sepasukan lapan anggota kemudian dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer.
“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat, mangsa dikatakan telah tergelincir dan kakinya termasuk ke dalam mesin tersebut ketika mengisar makanan ikan.
“Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu terus mematikan suis mesin pengisar, namun akibat kemalangan itu kesemua jari kaki kanan mangsa hancur.
“Mangsa diserahkan kepada pegawai kesihatan dan dibawa ke Hospital Jasin bagi rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










