Jangan bimbang hantar anak ke sekolah - Utusan Malaysia

Jangan bimbang hantar anak ke sekolah

AHMAD Saidi Mohamad Daud menandatangani plak pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan CEO@PolyCC dan Pelancaran Pusat Pelajar Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) serta Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar (PUO) 2021 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah apabila sesi persekolahan di negeri ini dibuka pada 22 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, ini kerana Kementerian Pendidikan dan pihak sekolah sudah menyediakan semua persiapan yang diperlukan untuk keselamatan para pelajar. 

“Pihak sekolah akan sentiasa memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang pengoperasian sekolah.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang, sebaliknya mereka perlu yakin untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah, kerajaan yakin pihak sekolah amat mementingkan soal keselamatan dan kesihatan para pelajar,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan CEO@PolyCC dan Pelancaran Pusat Pelajar Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) serta Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar (PUO) 2021 di sini hari ini.

Ahmad Saidi turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak yang akan bersekolah semula 22 November ini.

Menurutnya, sebahagian pelajar akan berada di dalam kelas secara kaedah Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) manakala sebahagian lagi mungkin akan berada di rumah secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ini kerana para pelajar akan menghadiri sesi persekolahan secara bergilir.

“Apabila sudah dipanggil hadir kelas secara bersemuka nanti, sentiasalah menasihati anak agar sentiasa mematuhi SOP dalam pembudayaan norma baharu,” katanya.

Semasa sesi PdPR, Ahmad Saidi menyarankan ibu dan bapa terus memantau pergerakan dan juga sistem pembelajaran anak di rumah.

“Bagi pelajar di sekolah asrama pula, ibu bapa tidak perlu risau akan keselamatan anak mereka kerana kerajaan negeri sudah melancarkan program ABC iaitu ‘Asrama Bebas Covid-19 Cikgu Saarani’. 

“Kita akan lengkapkan segala kemudahan dalam asrama-asrama ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN