PASIR PUTEH: Isu kenaikan harga ayam proses yang melambung tinggi dijangka dapat diselesaikan apabila pintu sempadan negara dibuka dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenaikan harga ayam itu berpunca daripada kenaikan mencanak harga dedak.
Keadaan itu, katanya, kian memburuk akibat kebergantungan negara kepada bijian jagung dari negara pengeluar sehingga produktiviti merosot, peningkatan kos pengangkutan dan dasar tutup pintu sempadan.
“Harga ayam akan turun pada kadar lebih murah apabila kemasukan bahan mentah berjalan lancar selepas sempadan beberapa negara pengeluar turut dibuka tidak lama lagi.
“Kerajaan meneliti perkembangan ini dan telah mengambil langkah drastik. Kita minta pengusaha dan penternak ayam terus bertahan untuk memastikan bekalan mencukupi bagi memenuhi keperluan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan one-off dan Mafi Prihatin kepada 70 pemandu teksi di Stesen Teksi Tok Janggut di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad.
Mengulas lanjut, Wan Muhammad Zawawi berkata, lonjakan harga ayam proses ketika ini turut berlaku di seluruh dunia, disebabkan pandemik Covid-19 selain krisis kejatuhan nilai mata wang di kebanyakan negara.
Kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, setakat ini, kerajaan juga menyalurkan peruntukan bantuan kepada penternak bagi meringankan kos tangggungan makanan ternakan.
“Selain itu kerajaan menerusi agensi pertanian berusaha membangunkan penanaman jagung berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan import bahan mentah itu dalam penghasilan dedak.
“Kilang memproses makanan ternakan juga akan dibangunkan menerusi agensi pertanian atau secara usaha sama dengan pihak swasta dalam tempoh terdekat,” katanya. -UTUSAN ONLINE