SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi jaminan harga jualan produk sayur-sayuran pihaknya masih kekal pada kadar yang berpatutan.
Sayuran itu antaranya sawi hijau, brokoli, cili, kangkung, bayam merah, terung dan timun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pihaknya mempunyai mekanisme kawalan harga berikutan ladang di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya turut mengeluarkan hasil sayuran sendiri.
“PKPS sebagai peneraju Inisiatif Jaminan Bekalan Selangor akan terus memikirkan kaedah membantu rakyat terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.
“Justeru, kita memberi jaminan bahawa harga produk sayuran PKPS masih rendah dan berpatutan kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini ada kaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dimaklumkan pada sesi libat urus antara kementeriannya bersama Kementerian Kewangan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kelmarin.
Terdahulu, sebuah infografik mengenai harga sayuran naik sebanyak RM2 sehingga RM12 sekilogram menimbulkan rasa geram dan marah warganet.
Dalam infografik itu, harga pasaran kubis bunga naik sebanyak RM8 iaitu daripada RM7 kepada RM16 per kilogram (kg), manakala harga sayur brokoli pula naik RM12 per kg daripada harga asal RM8 kepada RM20.
Jelas Mohamad Khairil, PKPS turut akan melancarkan kempen jualan mega jimat bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat akses sayuran berkualiti pada harga rendah.
“Sebagai contoh, kita akan menjual sayur pak choy hanya RM3.50 per kg berbanding harga pasaran iaitu RM9, manakala kacang buncis dijual RM6 per kg daripada RM15.
“Kempen jualan itu juga sebahagian daripada promosi memperkenalkan jenama komersil PKPS iaitu Ehsan kepada orang ramai,” ujarnya.
Tambah beliau, lokasi dan kaedah jualan akan dikongsi pihaknya menerusi laman Facebook dan Instagram PKPS. -UTUSAN ONLINE