Hanya 50 peratus majikan patuh Akta 446 - Utusan Malaysia

Hanya 50 peratus majikan patuh Akta 446

AWANG Hashim (tengah) menunjukkan buku panduan penginapan pekerja (Akta 446) dan Buku Terbitan JTKSM 2021 di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia kesal kerana hanya 50.01 peratus majikan di Semenanjung menyediakan penginapan sempurna untuk para pekerja mereka.

 Baki selebihnya masih tidak lagi mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 Pindaan 2019 atau Akta 446 yang dikuatkuasakan tahun lalu.

 Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, sejak Februari lepas sehingga semalam, hanya 17,128 majikan berjaya memenuhi keperluan akta itu hasil operasi penguatkuasaan.

 Katanya, ia melibatkan keseluruhan 34,248 majikan dengan sejumlah 150,248 asrama atau kuarters pekerja berpusat (CLQ) diperiksa oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

 “Baki 17,120 majikan ingkar akta ini dengan sebanyak 1,169 kertas siasatan telah dibuka dan daripada itu kita dapat izin kompaun ke atas 796 kes dengan nilai RM9,149,000,” katanya.

 Terdahulu, beliau mewakili Menteri, Datuk Seri M. Saravanan melancarkan empat judul buku terbitan JTKSM yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Asri Ab. Rahman di sini hari ini.

 Ia meliputi Buku Panduan Penginapan Pekerja Di Bawah Akta 446, Pelan Strategik JTKSM 2021-2025, Handbook Akta Kerja 1955 dan Handbook Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

 Mengulas lanjut, Awang berkata, daripada jumlah majikan yang degil itu, 134 kertas siasatan sudah pun mendapat izin pendakwaan dengan denda keseluruhannya berjumlah RM841,000.

“Kita harap dengan buku garis panduan ini, majikan tidak lagi boleh dolak-dalik bagi alasan tidak tahu, sebab bahasa dalam buku pun mudah difahami dan lengkap ada gambar,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa JTKSM tidak berniat menghukum majikan kerana ada yang memang tidak berkemampuan dalam penyediaan CLQ yang sempurna.

Namun, tegasnya, pihak majikan pula tidak boleh mengambil kesempatan menindas pekerja terutama warga asing dengan kediaman teruk sehingga berlaku isu penularan wabak Covid-19.

Justeru, mereka diminta tampil berbincang dengan JTKSM kerana jika asrama ditutup apabila ada kes positif pandemik itu, majikan terbabit yang akan rugi besar terpaksa gantung operasi.

“Hasrat kita demi memastikan pekerja tinggal selamat, malahan majikan juga untung apabila tidak perlu tanggung kos rawatan dan kuarantin kerana tiada kes yang berlaku,” jelas Awang.

Beliau juga yakin, pematuhan kepada Akta 446 turut memastikan keharmonian sektor buruh negara dengan mewujudkan majikan ada nilai integriti dan bersikap lebih bertanggungjawab.

Bahkan beliau menyeru kerajaan Sabah dan Sarawak yang tidak tertakluk di bawah akta tersebut agar turut dapat menyesuaikan isu CLQ dalam ordinan buruh di dua negeri berkenaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN