PETALING JAYA: Coop Bank Pertama (CBP) memperkenalkan beberapa produk baharu berkaitan perbankan runcit dan menyasarkan pertumbuhan 10 peratus hingga 15 peratus dari portfolio runcit sedia ada.
CBP turut memperkukuh dan memperkenalkan inisiatif digitalisasi bagi meningkatkan pencapaian kepada pelanggan baharu dan kemudahan pelanggannya menerusi perbankan patuh syariah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Tan Sri Noh Omar berkata, sebanyak RM700 juta diperuntukkan bagi pembiayaan koperasi dan produk pembiayaan bagi sektor koperasi untuk meningkatkan portfolio kepada 30 peratus.
Katanya, produk pembiayaan sektor koperasi terbahagi kepada enam pembiayaan yang dapat dimanfaatkan oleh gerakan koperasi iaitu Pembiayaan Hartanah-i; Pemfaktoran-i, Pembiayaan i-Kontrak, Pembiayaan Penyambung-i (bridging), Pembiayaan Berjangka-i dan Pembiayaan Kredit Berputar-i.
“Sehingga September lalu, pendapatan CBP mencatatkan lebih RM299 juta dan menyasarkan peningkatan sehingga RM385 juta menjelang hujung Disember tahun ini.
“Prestasi CBP pada tahun ini turut ketara diperlihatkan menerusi pemberian moratorium sebanyak hampir RM4 billion kepada peminjam, ini jelas menunjukkan institusi kewangan ini turut memainkan peranan dalam membantu ekonomi anggotanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Noh hadir pada satu sidang media sesi Kunjungan Hormat dan Taklimat bersama CBP, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi dan Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar.
Menurut Noh, peranan CBP dalam menjayakan Pelan Transformasi Koperasi Negara (TRANSKOM 2021-2025) dikenalpasti sebagai penyediaan sumber dana keada gerakan koperasi dalam lima bidang Ekonomi Utama.
“Lima bidang ini adalah perladangan, pertanian, pelancongan, peruncitan dan perumahan dan lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.
“CBP turut dilantik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai Pengurus Akaun Deposit Koperasi (ADK) pada September 2019 dimana lebih 180 koperasi mencarum di dalam Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) dengan jumlah dana diterima melebihi RM80 juta dengan dividen 2020 sebanyak 2.5 peratus.
“CBP membantu pelanggan dalam pelbagai aktiviti termasuk memberikan latihan pengurusan kredit pembiayaan syariah yang tepat bagi menggerakkan koperasi ke peringkat lebih baik bahkan menjadi contoh kepada koperasi lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE










